Showing posts with label BMM 3104. Show all posts
Showing posts with label BMM 3104. Show all posts

Wednesday, 25 April 2012

PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN MENDENGAR


Peringkat-peringkat Kemahiran Mendengar

Terdapat 3 peringkat kemahiran mendengar.  Pada peringkat awal kemahiran mendengar, pelajar akan diajar untuk mengecam, mengajuk dan memilih bunyi. Mereka juga diajar untuk mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat dalam petikan. Dalam  peringkat  kemahiran mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat, murid boleh menjalankan aktiviti mendengar dan mengecam ayat arahan serta pesanan. Sebagai contoh, murid boleh  menjalankan aktiviti mendengar rakaman perbualan yang mengandungi ayat arahan dan pesanan serta aktiviti menyebut ayat arahan dan ayat pesanan.
Pada peringkat ini juga, pelajar akan melakukan perkara dan aktiviti yang disuruh oleh guru. Sebagai contoh, guru menyuruh pelajarnya menggayakan gaya seekor kucing, maka pelajar tersebut akan bertindak balas dengan menggayakan aksi seekor kucing mengikut kekreatifan masing-masing. Selain itu, pada peringkat awal ini, pelajar cepat bertindak terhadap soalan yang mudah serta dapat  mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah dengan tepat.
Pada peringkat kedua atau peringkat pertengahan dalam kemahiran mendengar ini, pelajar didedahkan untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan terperinci. Pelajar juga diajar untuk mengenal informasi-informasi spesifik atau maklumat khusus. Sebagai contoh, guru memberitahu pelajar tentang sebuah kemalangan yang terjadi baru-baru ini. Hal ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar serta pelajar dapat mengetahui cara-cara untuk mengelakkan kemalangan itu.
        Pada peringkat ini juga, pelajar didedahkan untuk mengenal  sebab dan akibat sesuatu tindakan yang dibuat. Pelajar  ini juga  akan diajar untuk mengenal perhubungan orang-orang yang berinteraksi dalam kehidupan sosial serta diterapkan ilmu dalam aspek mengenal sikap dan perasaan orang yang bercakap. Mereka akan dipupuk untuk menjadi seorang pendengar yang baik dengan sentiasa menumpukan perhatian terhadap penyampai. Hal ini adalah supaya  pelajar tersebut menjaga perasaan penyampai agar  ilmu dan maklumat yang disampaikan itu dapat memberi manfaat kepada pelajar berkenaan.
        Peringkat ketiga pula ialah peringkat maju dalam kemahiran mendengar. Pada peringkat ini, pelajar dilatih untuk mengenal isi-isi penting. Sebagai contoh, dalam sebuah karangan, guru akan mengajar bagaimana untuk mencari isi-isi utama dalam karangan tersebut. Selain itu, aktiviti untuk murid pula adalah murid murid berbincang secara berkumpulan untuk mencari isi-isi penting daripada teks yang dibaca.
     Di samping itu,  pelajar diajar  mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap. Pelajar  akan diajar untuk mentafsirkan maksud orang yang bercakap agar dapat membezakan tekanan dan intonasi dalam sesebuah pertuturan. Contohnya, dalam sukatan pelajar Tahun Empat, pelajar diajar mendengar dan mengecam intonasi  dalam soalan tanpa kata tanya. Mereka juga diajar untuk mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang didengar sama ada merujuk kepada guru atau kawan-kawan. Pelajar juga  akan dididik untuk mengikut aliran dalam dialog atau perbualan serta mereka dapat menafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur nahu.

PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN BERTUTUR


 Peringkat-peringkat Kemahiran Bertutur.
   Untuk mencapai objektif kemahiran bertutur, iaitu bertutur dengan fasih dan dapat mengeluarkan bahasa dengan tepat dan sesuai dalam pelbagai situasi perhubungan di sekolah dan masyarakat, kemahiran bertutur perlu dipelajari berperingkat-peringkat. Peringkat kemahiran bertutur terbahagi kepada tiga iaitu peringkat awal, peringkat pertengahan dan peringkat maju.
   Pada peringkat awal penguasaan kemahiran bertutur, murid perlu menguasai sejumlah sembilan kemahiran iaitu, melafazkan pengucapan abertatasusila.  Sebagai contoh, murid memberikan respons yang sesuai terhadap soalan yang dikemukakan  dengan mengemukakan jawapan yang sesuai dalam sesi temu bual. Selain itu, murid juga perlu menguasai kemahiran mengajuk perkataan dan ayat-ayat yang didengar, menyoal untuk mendapatkan maklumat,serta membuat teguran atau kenyataan tentang sesuatu situasi.
    Dalam peringkat ini juga, murid perlu menguasai kemahiran mengemukakan soalan-soalan mudah berdasarkan situasi, bertindak terhadap soalan-soalan mudah, dan memberi arahan. Untuk kemahiran memberi arahan, murid menyatakan arahan atau pesanan dengan sebutan yang betul dan jelas. Cadangan aktiviti yang sesuai ialah murid melaksanakan arahan berdasarkan kad arahan yang dipilih contohnya kemaskan bilik darjah . Contoh  ayat arahannya ialah “Tolong kemaskan bilik darjah sekarang.”
     Kemahiran-kemahiran lain yang juga perlu dikuasai oleh murid dalam peringkat ini adalah kemahiran membina ayat-ayat tentang diri sendiri, rakan, ibu bapa dan sebagainya, serta membina ayat-ayat berdasarkan gambar ransangan. Untuk kemahiran membina ayat-ayat berdasarkan gambar ransangan, murid-murid boleh mengemukakan soalan bertumpu dan bercapah berdasarkan bahan rangsangan menggunakan lingkaran soalan. Contoh rangsangan yang boleh digunakan ialah gambar seekor harimau dan contoh soalan yang boleh dibina dan dikemukakan ialah “ Apakah makanan haiwan ini?” dan “ Bagaimanakah cara untuk mengekalkan spesisi ini?”
     Seterusnya  pada  peringkat pertengahan pula, murid-murid perlu menguasai sejumlah sepuluh kemahiran yang terdiri daripada melakukan deskripsi tentang sesuatu objek dan gambar. Kemudian guru akan bercerita berdasarkan satu siri gambar atau gambar-gambar bersiri kepada murid-murid tersebut, mendeskripsikan pengalaman atau sesuatu peristiwa serta memberi satu  siri arahan untuk melakukan sesuatu. Bagi  kemahiran mendeskripsikan pengalaman atau sesuatu peristiwa, murid-murid boleh bertukar-tukar pendapat berdasarkan sesuatu isi. Cadangan aktiviti yang murid boleh lakukan adalah bercerita tentang pengalaman masing-masing  contohnya pengalaman sambutan hari kebangsaaan di sekolah, pengalaman menonton televisyen dan sebagainya.
      Pelajar juga perlu menguasai kemahiran  membuat ucapan pendek dan ringkas serta mengambil bahagian dalam aktiviti perbualan yang mudah. Kemudian, pelajar yang lain akan memberi komen secara mudah serta membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan secara mudah  terhadap sesebuah aktiviti yang dijalankan di dalam kelas. Bagi kemahiran menyoal dan menjawab soalan berkaitan peribadi seseorang , suasana persekolahan, persekitaran, suasana di rumah dan sebagainya, murid boleh bersoal jawab tentang perkara yang menarik berdasarkan sesuatu topik contoh berkaitan dengan sukan sekolah.
    Akhirnya, pada peringkat maju pula, terdapat sejumlah dua belas kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid iaitu, mendeskripsi sesuatu peristiwa , objek, permainan, proses dan sebagainya; bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa menggunakannya; serta mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog. Untuk kemahiran mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog, murid boleh memberikan pendapat tentang tajuk yang dibincangkan secara bertatasusila.  Cadangan aktiviti yang sesuai dilakukan adalah berbincang dalam kumpulan kecil tentang topik yang diberikan,
   Kemahiran-kemahiran lain dalam peringkat ini yang perlu dikuasai oleh murid adalah bertanya untuk mendapatkan maklumat,menghuraikan proses,kejadian,prosedur dan peraturan, memberitahu arah atau hala sesuatu tempat, memberi ceramah atau syarahan serta mengambil bahagian dalam perbahasan,diskusi,forum,perbincangan, seminar dan sebagainya. Murid juga perlu mengambil bahagian dalam drama atau lakonan,mendeklamasi puisi, menyampaikan komen,laporan atau ulasan, serta mengkritik cerpen,pendapat,puisi,novel dan sebagainya.

MATLAMAT KEMAHIRAN MENDENGAR


MATLAMAT KEMAHIRAN MENDENGAR

Matlamat kemahiran mendengar yang pertama ialah mendengar untuk memperoleh idea.Di sekolah, murid-murid perlu mendengar untuk menerima dan memahami idea yang disampaikan dalam perbualan, perbincangan, dialog, mesyuarat dan penjelasan dalam proses pengajaran guru.  Manakala dalam kehidupan harian pula, aktiviti mendengar sentiasa wujud dalam interaksi sosial (perbualan, perbincangan dan mesyuarat); untuk mendapat hiburan (radio, televisyen, filem), memperoleh maklumat (pengajaran guru, berita di radio dan televisyen) serta pernyataan perasaan dan apresiasi seni (drama, lakonan, dialog dan kesusasteraan).
 Matlamat yang kedua pula ialah mendengar untuk mencari isi-isi penting. Murid-murid mendengar sesuatu petikan dan kemudian membuat ringkasan tentang apa yang telah didengarnya. Petikan itu mungkin boleh dibaca atau dirakam terlebih dahulu. Murid-murid diminta membuat catatan isi-isi penting ketika mendengar sesuatu petikan itu. Ringkasan itu kemudiannya boleh disiapkan dalam bentuk laporan bertulis.   Latihan mendengar seperti ini membantu menyediakan murid-murid untuk boleh memberi pandangan dan pendapat serta hujah dengan baik.
 Matlamat yang ketiga ialah mendengar untuk melakukan arahan atau memberi tindak balas. Murid-murid mendengar arahan yang diberi dan bertindak balas terhadapnya. Arahan itu boleh diberi oleh guru, ketua murid, guru besar, ketua darjah atau rakan-rakan mereka sendiri. Biasanya, murid-murid yang dapat mendengar dengan baik akan dapat memahami maksud yang didengarnya itu dengan cepat dan dapat pula segera bertindak terhadapnya. Murid-murid seperti ini dapat menghasilkan sesuatu tindak balas secara tepat dan berkesan. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah melengkapkan peta, membuat corak, mencari jalan pada peta sesebuah bandar dan sebagainya.
Selain itu, matlamat mendengar juga adalah untuk mengenal pasti isi-isi yang tersirat. Di dalam kemahiran  ini, kita mendengar untuk mendapatkan maklumat. Dalam latihan ini perhatian murid-murid ditumpukan kepada bahagian-bahagian tertentu daripada apa yang mereka dengar. Latihan ini amat baik untuk melatih murid-murid mendengar dengan teliti maklumat-maklumat yang berkenaan sahaja dan mengenepikan yang lainnya. Banyak aktiviti yang boleh dijalankan oleh murid-murid. Antaranya ialah mendengar tentang cara untuk membuat kuih, mendengar dari seorang jurujual mengenai sebuah kereta yang akan dibeli, mendengar dan mendapatkan maklumat tentang rumah yang akan dibeli, mendengar dan mendapatkan maklumat maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh orang tertentu dalam seminggu dan sebagainya. 
Di samping itu, kita juga mendengar untuk mentafsir makna-makna yang tersirat, Kemahiran mendengar  memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan makna bagi mesej yang didengar bagi bahasa itu. Hal ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki kemampuan dari segi penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi. Sekiranya pelajar tidak menguasai kemahiran mendengar ini dengan baik, maka mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan tidak memahami apa yang disampaikan oleh guru semasa pengajaran di dalam kelas.
Matlamat kemahiran mendengar yang seterusnya ialah untuk menghayati keindahan bahasa dan muzik.  Misalnya dalam puisi.  Bahasa yang digunakan begitu puitis, dengan itu pendengar dapat menghayatinya melalui proses pendengaran yang baik.  Manakala mendengar untuk tujuan menghayati keindahan muzik pula bertujuan untuk menghayati lirik-lirik lagu yang didendangkan.  Mendengar juga adalah Untuk mengetahui keadaan semasa.  Tujuan ini amat penting supaya kita tidak ketinggalan daripada mengetahui perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita.  Kita dapat mendengar perkembangan semasa ini melalui media elektronik seperti radio dan televisyen.

MATLAMAT KEMAHIRAN BERTUTUR


MATLAMAT  KEMAHIRAN BERTUTUR

Matlamat kemahiran bertutur yang pertama ialah membolehkan seseorang murid menyebut dengan jelas.  Kelebihan murid menyebut dengan jelas supaya perkara atau maklumat yang disampaikan dapat diterima dan difahami oleh pendengar. Selain itu, apabila murid menyebut dengan jelas juga, dapat mengelakkan daripada timbulnya berlaku salah faham. Menurut Juriah Long (1990), penguasaan kemahiran lisan memerlukan seorang penutur menguasai beberapa kemahiran kecil bagi mengingat dan menyebut sistem bunyi dan struktur dalam sesuatu bahasa dengan betul.
Oleh yang demikian, untuk menguasai kemahiran lisan murid perlu menyebut dengan jelas. Menyebut dengan jelas, bukan sahaja kepada penggunaan unsur-unsur bahasa yang betul, pemilihan kata yang sesuai tetapi juga merangkumi intonasi dan nada yang betul supaya pendengar tergambar makna yang betul. Pada pendapat saya, kelemahan matlamat ini pula ialah terdapat sesetengah murid yang tidak dapat menyebut dengan jelas disebabkan oleh mengalami masalah pada alat artikulasi mereka, contohnya seperti pita suara. Menurut Raminah (1985), seseorang yang mengalami kerosakan pita suara akan mengalami gangguan suara dan hal ini akan menjejaskan proses pelahiran sebutan  dan menjadikan sebutan tidak jelas.
Matlamat kedua ialah menyampai atau melahirkan pendapat peribadi. Kelebihan matlamat ialah murid dapat berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pandangan dengan rakan-rakan mereka. Murid dapat menyampaikan isi hati tanpa rasa rendah diri. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melaui aktiviti perbincangan dalam kumpulan. Mereka perlu bekerjasama dalam satu kumpulan untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu matalamat kumpulan. Jelas sekali teknik ini dapat melatih kemahiran bertutur murid kerana setiap murid berperanan dalam kumpulan untuk menyatakan pendapat mereka secara telus.
Kelemahan matlamat ini pula ialah guru perlu memberi rangsangan kepada murid terlebih dahulu sebelum mereka dapat melahirkan pendapat peribadi mereka. Jika guru menggunakan bahan rangsangan yang sesuai dan dapat menarik minat murid, maka murid akan melahirkan pendapat peribadi mereka tanpa dipaksa. Tetapi jika bahan yang digunakan tidak menepati minat murid maka kesannya adalah sebaliknya.
Matlamat yang ketiga ialah bertutur secara bertatasusila. Kelebihan murid bertutur secara bertatasusila ialah dapat menggunakan bentuk panggilan yang sesuai serta mematuhi tatatertib yang perlu diikuti dalam sesuatu ucapan. Selain itu bertutur secara bertatasusila juga ialah menggunakan laras bahasa yang sesuai pada situasi-situasi yang berbeza. Contohnya, ketika murid menyampaikan ucapan dan syarahan, murid dapat meyampaikannya dengan menggunakan nada, intonasi, gaya dan suara yang baik dalam penyampaian tersebut.
Kelemahan matlamat ini pula ialah terdapat murid yang tidak dapar bertutur secara bertatasusila disebabkan oleh faktor persekitaran mereka iaitu keluarga, jiran dan rakan sebaya. Contohnya, anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang menggunakan perkataan yang kasar seperti penggunaan perkataan mati dengan mampus maka, mereka lebih cenderung untuk menggunakan perkataan kasar itu ketika berturtur bersama rakan sebaya.
Matlamat kemahiran bertutur yang keempat ialah bersoal jawab. Kelebihan matlamat ini ialah murid dapat mengemukakan soalan untuk mendapatkan maklumat dalam sesuatu perbualan atau tugas-tugas tertentu. Selain itu murid juga dapat memberi jawapan secara spontan kepada berbagai jenis soalan yang diberikan. Kelebihan lain juga ialah murid dapat bersoal jawab dengan menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai.
Bersoal jawab dapat membantu murid mengetahui sesuatu perkara atau maklumat dengan cara yang sesuai. Kelemahan matlamat ini dapat dilihat berdasarkan faktor kecerdasan. Hal ini merujuk kepada kecerdasan otak dalam menentukan keupayaan berfikir dalam proses memperoleh, menyampai dan memproses maklumat. Kebiasaannya, murid yang cerdas, aktif ketika aktiviti soal jawab dilaksanakan, manakala murid yang lemah pula jarang melibatkan diri dalam aktiviti ini. Oleh yang demikian, guru perlu mahir menggunakan teknik penyoalan agar semua murid dapat mencapai matlamat kemahiran bertutur ini.
Selain itu, matlamat kemahiran bertutur yang kelima ialah melaporkan peristiwa dan memberi sesuatu huraian dengan tepat. Kelebihan matlamat ini ialah, murid dapat melaporkan sesuatu yang dilihat atau didengar dengan tepat dan ringkas. Contohnya, jika ternampak kemalangan berlaku, murid boleh membantu dengan menelefon ambulans kemudian memberi maklumat yang diperlukan dengan tepat dan ringkas seperti tempat kejadian, bilangan mangsa yang terlibat dan keadaan mangsa. Kemahiran bertutur ini secara tidak langsung dapat diaplikasikan oleh murid dalam kehidupan seharian.
Kelemahan matlamat ini pula ialah sesetengah murid yang mempunyai ingatan jangka pendek akan lupa perkara-perkara penting yang hendak disampaikan. Kesannya maklumat yang hendak disampaikan tidak dapat disampaikan kepada penerima dengan tepat. Salah faham akan timbul dan akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pendengar atau penerima maklumat