Showing posts with label PJM 3110. Show all posts
Showing posts with label PJM 3110. Show all posts

Wednesday, 2 November 2011

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran dan Aplikasi dalam Sukatan Pelajaran PJ KBSR atau KSSR(PJM 3110 SEM 4)

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran dan Aplikasi dalam Sukatan Pelajaran PJ KBSR atau KSSR

Strategi Pembelajaran Kontekstual
Pengajaran secara kontekstual ialah proses pengajaran guru yang mengaitkan ilmu yang dipelajari dengan pengalaman seharian perseorangan, masyarakat dan dunia pekerjaan. Pengajaran ini melibatkan perkongsian pemikiran dan pengalaman guru untuk memberi kefahaman kepada  pelajar  kerana proses  pengajaran dan pembelajaran itu sendiri melibatkan pelajar, pengajar dan bahan pengajaran. Selain daripada itu, pengajaran ini juga menghubungkan isi pelajaran  dengan dunia sebenar, proses interaksi antara pelajar dengan  pelajar yang lain serta menjadikan situasi pengajaran di kelas sebagai  simulasi kepada tempat kerja. Pelajar juga disediakan dengan aplikasi amali untuk dipelajari (Hull D., 1995).
Kaedah Pengajaran secara kontekstual menurut Hull D.(1997) mempunyai ciri-ciri yang perlu dilaksanakan agar pengajaran lebih berkesan. Ciri yang pertama ialah   guru  menghubungkaitkan  pengajaran dalam konteks pengalaman hidup. Guru perlu membantu pelajar memahami tujuan mempelajari sesuatu tajuk dan menghubungkaitkan pengetahuan  baru dan pra-pengetahuan pelajar. Menurut Wan Absah bte Wan Kadir (1997) perkara ini akan membolehkan pelajar mendapat gambaran yang jelas tentang perkaitan apa yang dipelajari dengan penggunaan harian dan  pelajar mengetahui penggunaan ilmu dalam bidang pekerjaan serta memberi pendedahan kepada pelajar tentang profil pekerjaan. 
Ciri yang kedua ialah pengalaman. Dalam pengajaran, guru memberi pendedahan, penemuan dan penciptaan kepada pelajar. Guru dikehendaki melibatkan pelajar secara aktif dalam membuat ujikaji dan menemui idea dan fakta. Ini akan menjadikan pelajar dapat melibatkan diri dengan ujikaji secara menyeluruh dan membentangkan hasil kerja mereka dengan lebih yakin. Dengan itu, pelajar telah memperoleh pengalaman yang berguna dalam  pembelajaran di kelas (Wan Absah Wan Kadir,1997). 
Ciri yang ketiga dalam pengajaran secara kontekstual ialah aplikasi. Dalam hal ini, guru  menyalurkan sesuatu pengajaran kepada pelajar dan pelajar boleh menggunakan maklumat yang ada  untuk menyelesaikan masalah yang mungkin dihadapi dalam alam pekerjaan pada masa akan datang.  Semasa pengajaran dijalankan, para pelajar didedahkan dengan aktiviti - aktiviti yang membolehkan mereka mengaplikasikan aktiviti dalam kelas dengan aktiviti di luar. Menurut Hungate (1982), ciri-ciri aplikasi dalam  pengajaran telah dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam satu-satu mata pelajaran yang diajar.
Ciri yang keempat pula ialah bekerjasama iaitu pengajaran dalam konteks berkongsi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Guru memainkan tugas penting dalam mewujudkan sikap bekerjasama yang baik dalam pengajaran dan  menjadikan proses pengajaran lebih aktif dengan mempelbagaikan aktiviti yang melibatkan pelajar   (Pedrotti L. S.,1997). Kesannya,  membolehkan individu mengenalpasti minat dan keperluan pembelajaran yang unik, perbezaan individu dan pelajar lebih memahami aspirasi kumpulan.
Ciri yang kelima ialah pemindahan pembelajaran iaitu pengajaran dalam konteks penyaluran pengetahuan oleh guru. Guru akan menyalurkan pengetahuan mereka melalui kaedah-kaedah yang disarankan dalam kaedah pengajaran secara kontekstual dengan cara timbal balik.Guru akan membimbing pelajar menemui pengetahuan baru melalui penerokaan, pengujian dan mencari jawapan. Kesemua  ciri ini dapat dilaksanakan dengan bantuan penggunaan media pengajaran yang berkesan (Hull D., 1997). Pemindahan ini juga akan menyebabkan pelajar lebih mudah membuka peluang sedia ada mereka melalui pelbagai situasi pembelajaran 

Dalam proses pembelajaran secara kontekstual, murid akan melalui satu atau lebih daripada kaedah-kaedah pembelajaran berdasarkan REACT( Relating-menghubungkait, Experiencing - mengalami, Applying – mengaplikasi, Cooperating – bekerjasama, dan Transfering – memindahkan). Di dalam pengajaran kemahiran pendidikan pergerakan gimnastik artistik iaitu imbangan, pengajaran secara konstektual turut digunakan dengan menggunakan kaedah REACT. Untuk Relating iaitu menguhubungkait,contoh  yang jelas adalah untuk aktiviti imbangan statik. Menerusi pengalaman ini murid dapat menghubungkaitkan kepentingan pusat graviti dan keluasan tapak untuk kestabilan.
Untuk Experiencing pula iaitu mengalami, contoh aktiviti ialah melakukan aktiviti imbangan dengan sebelah kaki, dua belah kaki dan lain-lain bahagian badan. Menerusi aktiviti ini murid dapat berasa atau mengalami perbezaan kestabilan dengan dirian atas satu kaki, dua kaki dan sebagainya. Applying pula ialah mengaplikasi. Di dalam aktiviti imbangan ini, murid dapat mengaplikasikan pengetahuan ini apabila mendirikan khemah, membina model bangunan melalui permainan lego.
Untuk aktiviti membina model piramid manusia, elemen yang diterapkan ialah Cooperating iaitu bekerjasama. Murid dapat bekerjasama melalui perbincangan dalam menghasilkan gerak kerja yang diarahkan oleh guru.  Dan yang terakhir adalah Transfering iaitu memindahkan. Dengan mempelajari konsep stabiliti, murid dapat memindahkan pengalaman ini ketika menyusun tin susu di dalam kedai atau pasaraya atau membina rak buku yang bertapak besar.


Strategi Pembelajaran Masteri
Pengajaran secara masteri ialah suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang mencukupi dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Bagi memastikan aktiviti yang dijalankan berkesan dan boleh merangsang minat murid, guru perlulah mempelbagaikan kaedah pengajaran. Sebagai contoh menggunakan kaedah-kaedah pengajaran yang melibatkan visual , audio dan kinestetik.
Dalam pembelajaran ini pelajar dan guru mesti menentukan objektif pembelajaran, pengajaran dan pembelajaran terbimbing, menilai pengajaran dan pembelajaran.  Akhir sekali aktiviti pengayaan dan pemulihan perlu dilakukan ke atas pelajar.Strategi ini akan berjaya jika guru memainkan peranan penting dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.  Guru mesti menentukan objektif pembelajaran, merancang isi unit pelajaran dan menggubal soalan-soalan bagi penilaian sumatif.

Pembelajaran Masteri adalah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran alternatif yang mendorongkan pelajar sampai kepada satu tahap penguasaan unit – unit pengajaran tertentu sebelum mereka dibenarkan maju atau meneruskan pembelajaran ke unit seterusnya. Selain itu, pembelajaran masteri juga adalah pembelajaran yang berasaskan andaian bahawa pelajar boleh menguasai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan sekiranya pelajar diberikan arahan yang jelas dan masa yang mencukupi (Boom,1968, dan lain – lain dalam Woolfolk,1998 ms 334) .

Pembelajaran Masteri bukan satu konsep yang baru dan ia telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan di Amerika melebihi 70 tahun dahulu. Ia adalah satu proses di mana pelajar mencapai aras yang sama terhadap kandungan Masteri tetapi pada tahap – tahap jarak jangka masa “interval” yang berlainan. Sistem sekolah yang melaksanakan pembelajaran Masteri mendapati ia berkesan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Selain itu pada zaman Comenius, Pestalozzi dan Herbert (Bloom 1974) pendekatan pembelajaran masteri telah digunakan. Tetapi penggunaannya pada zaman moden ini banyak terhasil dari kajian dan penulisan Bloom.
            Idea untuk Pembelajaran Masteri bergerak pada satu tahap anjakan di mana tanggungjawab pembelajaran adalah bergantung sepenuhnya kepada guru. Kegagalan dalam pembelajaran terletak pada pengajaran guru dan bukan kepada kurangnya pada pihak pelajar. Dalam persekitaran Pembelajaran Masteri, cabaran adalah memberi  cukup masa dan menggunakan strategi – strategi pengajaran supaya semua pelajar boleh mencapai satu aras pembelajaran yang sama. (Levine,1985; Bloom, 1981) elemen penting bagi Pembelajaran Masteri adalah menentukan dengan jelas apa yang dipelajari dan bagaimana ia akan dinilai, membenarkan pelajar belajar mengikut keupayaan mereka. Menilai kemajuan pelajar dan menyediakan pemulihan atau tindak balas yang sesuai dan menguji untuk melihat sama ada kriteria pembelajaran telah dapat dicapai atau tidak.
 Bloom membuat kesimpulan bahawa masa yang mencukupi dan berkualitipengajaran membolehkan semua pelajar boleh belajar. Teori pembelajaran masteri berkesudahan dengan satu peralihan yang radikal dalam tanggungjawab guru. Kegagalan pelajar bersandar kepada pengajaran guru dan bukan keran ketidakupayaan pada pihak yang sejajar. Dalam  persekitaran pembelajaran jenis ini cabaran berlaku terutamanya dalam penyediaan cukup masa dan menggunakan strategi pengajaran yang sesuai supaya semua pelajar mampu mencapai aras pembelajaran yang sama. 

Pembelajaran Masteri merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran yang terancang dan berkualiti serta berpandukan tahap penguasaan murid. Model Pembelajaran Masteri dimulakan dengan Penentuan Hasil Pembelajaran, dan diikuti dengan Pengajaran dan Pembelajaran. Tujuan menentukan hasil pembelajaran murid adalah untuk memastikan murid semua berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diberikan dengan kadar kemampuan biasa seseorang murid di tahap tersebut. 
Setelah dibuat penilaian, murid yang telah menguasai akan diteruskan dengan aktiviti pengayaan dan bagi  murid yang belum menguasai akan  diteruskan dengan aktiviti pemulihan. 
i. Hasil pembelajaran perlu ditentukan, dan disusun mengikut hierarki atau unit pembelajaran.
ii. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran hendaklah bermakna, berkesan, menarik dan mengembirakan.
iii. Keupayaan dan Pencapaian dinilai semasa aktiviti Pembelajaran.
iv. Bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkaitan.
v. Semua murid perlu menguasai 80% aras masteri yang ditetapkan setiap unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran yang baru.
vi. Aktiviti pemulihan dilaksanakan untuk murid yang belum menguasai aras masteri.


Sebagai contoh dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani adalah  pengajaran tentang pertolongan cemas. Untuk set induksi, guru boleh pelajar  menonton klip video yang menunjukkan 2 mangsa, satu alami  kecederaan patah dan satu terseliuh. Langkah pertama pula adalah aktiviti perbincangan dalam kumpulan iaitu pelajar membuat banding beza tanda-tanda patah dan terseliuh dalam lembaran kerja individu. Aktiviti diteruskan lagi dengan menonton klip video cara melaksanakan bantuan awal bagi kecederaan patah dan terseliuh.
Langkah 3 pula guru menerangkan cara melakukan bantuan awal bagi patah dan terseliuh. Manakala langkah 4 membuat simulasi bantuan awal bagi patah dan terseliuh. Dan untuk penutup pelajar melengkapkan lembaran kerja. Di dalam pengajaran ini, guru memberikan aktiviti selepas pelajar menguasai satu tahap kepada tahap yang lebih susah. Setiap aktiviti yang dirancang mengambil kira tahap kefahaman pelajar mengenai pengajaran yang diajar oleh guru.
Dengan mengetahui kebolehan dan keupayaan mur id yang berbeza, guru dapat merancang kaedah pengajaran yang juga berbeza dan berbagai-bagai bagi memudahkan murid menguasai ilmu yang disampaikan. Dengan merujuk kepada kadar penerimaan dan kesanggupan, murid akan dapat menguasai ilmu pada kadar kemampuan mereka. Untuk itu, guru seharusnya mengenali murid mereka.


Strategi Pembelajaran Konstruktivisme
Teori Konstruktivisme ditakrifkan sebagai pembelajaran yang bersifat generatif, iaitu tindakan mencipta sesuatu maksud daripada apa yang individu telah pelajari. Konstruktivisme sebenarnya bukan merupakan idea yang baru, apa yang dilalui dalam kehidupan sebenar selama ini merupakan himpunan dan pembinaan pengalaman demi pengalaman. Justeru,  menyebabkan seseorang itu mempunyai pengetahuan dan menjadi lebih dinamik.
Menurut Arends, R.I.(1997), pembelajaran secara konstruktivisme ini boleh didefinisikan sebagai satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Lev Vygotsky, seorang ahli psikologi Rusia percaya bahawa pelajar yang bijak adalah individu yang berhadapan dengan benda baru dan menggunakan pengalaman serta mereka bersungguh-sungguh untuk menghuraikan kelainan berdasarkan pengalaman-pengalaman tersebut.
Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Proses ini akan menyesuaikan pengetahuan murid yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Briner (1999), berpendapat bahawa murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasinya dalam situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperolehi dengan binaan intelektual yang sedia wujud.
 Manakala, Mc Brien dan Brandit (1997) menjelaskan bahawa konstruktivisme adalah suatu pendekatan pengajaran berdasarkan penyelidikan cara manusia belajar. Para penyelidik berpendapat bahawa setiap individu membina pengetahuan, bukan hanya menerima input atau pengetahuan daripada individu lain. Pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir melalui pengalaman sedia ada. Dalam proses ini murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru dalam mindanya.
Pendekatan pembelajaran secara konstruktivisme  melibatkan lima elemen. Kelima – lima elemen ini saling berkaitan antara satu sama lain. Antara lima elemen tersebut ialah Penglibatan (Engage), Penjelajahan (Explore), Penerangan (Explain), Penghuraian (Elaborate), dan Penilaian (Elvaluate). Untuk elemen penglibatan, ia adalah mengenai penglibatan pelajar itu sendiri iaitu simulasi perasaan ingin tahu pelajar melalui pemberian suatu tugasan, topik  atau konsep, memupuk minat dan membangkitan persoalan. Sebagai  contoh dalam pendidikan jasmani , untuk mengajar tentang kemahiran koordinasi, guru tersebut akan mengajar permainan belalang belatuk dahulu bagi menarik minat pelajar mengikuti pengajaran tersebut. Dalam permainan belalang belatuk itu sendiri guru telah menerapkan kemahiran koordinasi iaitu koordinasi tangan dan kaki.
Elemen  penjelajahan pula bertujuan bertujuan memuaskan perasaan ingin tahu melalui penggunaan pendekatan  inkuiri untuk menjelajah dan menyiasat, melalui eksperimen, menggalakkan pelajar untuk bekerjasama dan menyoal. Elemen ini bagi meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti pengajaran. Sebagai contoh, dalam aktiviti belalang belatuk, murid menjelajah sendiri permainan iaitu bagaimana mereka melaksanakan permainan tersebut dengan bimbingan guru. Aktiviti ini menggalakkan pelajar untuk bekerjasama dalam kumpulan itu sendiri.
 Elemen  penerangan pula adalah satu pendekatan yang melibatkan definisi konsep dan pernyataan. Pertanyaan tentang penerangan orang lain dan membuat pertimbangan dan penjelasan. Sebagai contoh, untuk memulakan sesuatu permainan belalang belatuk tersebut, guru haruslah menerangkan cara permainan terlebih dahulu bagi memberikan kefahaman kepada murid untuk melaksanakan permainan tersebut.
Elemen penghuraian bermaksud memperdalamkan lagi konsep ke dalam sudut kandungan yang lain. Pelajar akan menghubungkaitkan dan melihat perhubungan suatu konsep atau topik dalam sudut kandungan yang lain dan membuat perkaitan dengan konsep atau topik ke dalam situasi dunianya. Sebagai contoh adalah permainan belalang belatuk, murid menghubungkaitkan koordinasi tangan dan kaki dalam melaksanakannya. Selain itu, pemilihan sesuatu permainan dalam sesautu kemahiran adalah berkaitan dengan kemahiran yang hendak diajar oleh guru tersebut.
Elemen yang terakhir ialah elemen  penilaian. Di dalam elemen ini, guru menilai pemahaman pelajar melalui demonstrasi pemahaman dan kemahiran atau konsep pengetahuan. Mengakses pengetahuan pelajar dan kemahiran dan konsep. Mengemukakan soalan terbuka (contoh: apa yang sedang anda fikirkan?). sebagai contoh, selepas guru mengajar teknik-teknik koordinasi yang betul kepada pelajar, guru akan menyuruh pelajar main satu permainan yang berkaitan. Di dalam permainan ini, guru akan lihat tahap kefahaman murid tentang kemahiran yang telah guru ajar dan bagaimana mereka mengaplikasikannya dalam permainan yang telah dipilih.
Pembelajaran konstruktivisme memiliki beberapa kelebihan yang harus dimanipulasi oleh guru dan murid. Pusat perkembangan kurikulum (1991) menyatakan pembelajaran secara konstruktivisme menggalakkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Ia menggalakkan murid berfikir untuk menyelesaikan sesuatu masalah, menjana idea dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran, misalnya dalam aktiviti penyelidikan dan penyiasatan dan pengujian hipotesis. Ini akan membantu murid membina konsep kendiri positif. Murid akan memahami sesuatu konsep dan idea dengan lebih jelas kerana mereka terlibat secara langsung untuk membina pengetahuan baru dan mengaplikasikannya dalam kehidupan atau situasi baru.
Hasil daripada proses tersebut murid dapat membina ingatan jangka panjang tentang sesuatu konsep melalui penglibatan yang aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan yang baru. Keyakinan murid dapat dipupuk hasil daripada pembelajaran ini dan membolehkan seseorang murid bersedia untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Di samping itu, murid juga dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka iaitu dapat bekerjasama dengan orang lain menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila murid berinteraksi dengan rakan – rakan dan guru untuk membina pengetahuan mereka. 
Antara kelebihan-kelebihan kaedah pengajaran konstruktivisme, pertama adalah, guru merupakan penolong, pemudahcara dan perancang. Guru hanya berperanan menyampaikan teori pengajaran dan menghubungkait dengan pengalaman murid untuk pemahaman. Guru memilih idea yang terdekat dengan prinsip yang hendak diajar kepada murid. Ini bermakna, pelajar adalah peranan utama dalam aktiviti pembelajaran. Libatkan diri secara langsung dengan penyelesaian masalah yang dilaksanakan dalam kelas. Kedua, terapkan nilai koperatif dan kolaboratif dalam diri murid. Murid diminta bekerjasama dalam kumpulan memberikan hipotesis mereka sendiri.
Kaedah ini boleh memotivasikan pelajar, membimbing, dan menggalakkan pelajar melibatkan secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ketiga, tidak menggunakan kaedah atau teknik tradisi seperti, syarahan, menghafal dan mengingat. Murid mendapat ilmu pengetahuan berdasarkan pengalaman yang dibina dalam minda bukannya yang wujud dalam luar minda mereka. Aktiviti yang dilaksanakan dan alat bantu mengajar yang menarik serta pelbagai, membuatkan murid mudah faham dan berasa seronok. Keempat, penguasaan teknik lisan dan bukan lisan. Guru hanya membentangkan teori dan pelajar akan mengadaptasinya sendiri berdasarkan pengalaman sendiri. Manakala aktiviti dalam kelas memperkukuhkan lagi pemahaman murid. Ini bermakna, guru dan murid ada menggunakan kaedah timbal balik, di mana penggunaan serta penguasaan teknik lisan dan bukan lisan diaplikasikan.
Kesimpulannya, konstruktivisme adalah satu teori mengenai pengetahuan yang sangat berhubung kait dengan cara seseorang individu membina pengetahuan. Ahli–ahli konstruktivisme menyatakan bahawa manusia membina sendiri pengetahuannya dalam skemata kognitif masing–masing. Teori ini juga adalah satu model pembelajaran yang berasaskan kepercayaan bahawa pemahaman pengetahuan tidak diperolehi secara siap sedia, sebaliknya adalah hasil interaksi murid–murid dengan alam sekeliling.
Tegasnya, pengetahuan diperolehi dengan cara kombinasi yang dihasilkan oleh persekitaran dan pelajar itu sendiri. Murid–murid membina pengetahuan mereka sendiri dengan menyepadukan maklumat dan idea baru ke dalam struktur pengetahuan yang sudah sedia ada. Hari ini konstruktivisme adalah idea yang sangat relevan mengenai cara murid–murid belajar dan impaknya terhadap pendidikan sains. Pembelajaran berlaku apabila murid–murid  membina kefahamannya sendiri dengan membuat perkaitan di antara idea baru dengan pengetahuan sedia ada. Justeru itu, teori konstruktivisme memberi penekanan terhadap pembelajaran yang bermakna, penyusunan kurikulum, konsep asas, menggalakkan murid–murid membuat penyiasatan dan menilai untuk memandu pembelajaran murid–murid di bilik darjah.


STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM PENDIDIKAN JASMANI(PJM 3110 SEM 4)

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM PENDIDIKAN JASMANI

PENGENALAN
Strategi ialah merupakan satu penentuan dan perancangan kaedah dan teknik untuk mencapai objektif jangka panjang. Konsepnya adalah berteraskan kepada kebijaksanaan memilih pendekatan, kecekapan merancang kaedah dan teknik serta berasaskan objektifnya. (http://www.scribd.com/doc/57165389/Topik-3-Sains-Dalam-PJ).
Terdapat sembilan contoh strategi pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan Jasmani iaitu : ( http://kpli-teslians.blogspot.com/2011/06/modul-pengajaran-dan-pembelajaran.html)
1. Belajar Cara Belajar (BCB)
2. Kemahiran Berfikir (KB)
3. Teori Kecerdasan Pelbagai (TKP)
4. Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT)
5. Kajian Masa Depan (KMD)
6. Pembelajaran Akses Kendiri (PAK)
7. Pembelajaran Masteri (PM)
8. Pembelajaran Secara Konteksual (PKT)
9. Pembelajaran Secara Konstruktivisme (PKS)
Strategi-strategi ini boleh digunakan oleh guru semasa merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan keberkesanan dan kelancaran aktiviti pengajaran.
Bagi melaksanakan tugasan ini, saya telah memilih untuk melaksanakan tiga strategi iaitu Pembelajaran Secara Kontekstual, Pembelajaran Secara Konstruktivisme, dan juga Pembelajaran Masteri. Saya telah memilih ketiga-tiga strategi ini kerana ia biasa digunakan dalam kehidupan seharian murid-murid selain ia mempunyai kelebihannya yang tersendiri.


PEMBELAJARAN SECARA KONTEKSTUAL
Pembelajaran secara kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on.
Mengikut teori pembelajaran kontekstual, pembelajaran hanya berlaku apabila pelajar dapat memproses maklumat atau pengetahuan baru dengan cara yang bermakna dalam rangka minda mereka.
Teori pembelajaran kontekstual adalah berdasarkan unsur-unsur berikut:
1. Konteks pembelajaran yang pelbagai
• Budaya
• Sosial
• Psikologi
            • Fizikal
2. Kepelbagaian persekitaran pembelajaran
• Bilik darjah
• Makmal
• Tempat kerja
• Kehidupan harian

3. Kepelbagaian disiplin ilmu
• Matematik
• Sains
• Komunikasi
• Teknikal dan Vokasional
• Kemanusiaan

Unsur-unsur tersebut menegaskan bahawa pembelajaran akan menjadi lebih berkesan jika maklumat disampaikan dalam konteks yang pelbagai dan bermakna kepada murid.
Teori ini juga menegaskan bahawa penekanan perlu diberi kepada kepelbagaian persekitaran pembelajaran untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Pendekatan konteksual juga merentas pelbagai disiplin ilmu seperti Matematik, Sains, Komunikasi, Kemanusiaan, Teknikal dan Vokasional.

Kaedah-Kaedah Pembelajaran Kontekstual

Dalam proses pembelajaran secara kontekstual, pelajar akan melalui satu atau lebih daripada kaedah-kaedah pembelajaran berikut , ia dapat diringkaskan menjadi “REACT”

a)    Relating (Menghubungkait):

Pembelajaran dalam konteks menghubungkaitkan pengetahuan baru dengan pengalaman hidup yang mana merupakan suatu bentuk pembelajaran konteksual yang biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak. Apabila kanak-kanak membesar, adalah menjadi lebih sukar untuk menyediakan konteks pembelajaran yang bermakna. Kurikulum yang cuba menempatkan pembelajaran dalam konteks pengalaman hidup mesti menumpukan perhatian pelajar kepada taakulan, peristiwa dan keadaan harian. Kemudiannya, taakulan, peristiwa dan keadaan harian itu dipautkan dengan maklumat baru untuk penyelesaian sesuatu masalah.

b)   Experiencing (Mengalami):
Pengalaman - pembelajaran dalam konteks eksplorasi, penemuan dan reka cipta merupakan nadi pembelajaran konteksual. Walaupun pelajar-pelajar boleh dimotivasikan dengan strategi pengajaran dan pembelajaran seperti video,naratif, atau aktiviti berasaskan teks, tetapi mereka masih memerlukan bentuk pembelajaran yang pasif secara bandingannya. Pembelajaran adalah lebih berkesan sekiranya pelajar-pelajar dapat memanipulasikan alatan dan bahan serta melakukan bentuk penyelidikan yang aktif.
Contoh murid dibawa ke padang untuk menyaksikan demonstrasi serta membuat latihan amali menggelecek bola. Pengalaman ini boleh digunakan semasa bermain hoki bersama kawan-kawan di rumah.
c)    Applying (Mengaplikasi):
Mengaplikasi konsep dan informasi dalam konteks untuk digunakan dalam situasi yang lain. Dalam kursus pembelajaran konteksual, aplikasi seringnya berdasarkan aktiviti pekerjaan. Ini boleh dilakukan dengan teks, video, makmal dan amali. Kebanyakan sekolah akan mengadakan lawatan kilang, mentoring dan latihan kerja.
Contoh murid mempelajari mempelajari cara membaling bola ke dalam jaring bola jaring dengan betul.Pengetahuan ini dapat diaplikasikan apabila melibatkan diri dalam pertandingan bola jaring. Murid boleh menggunakan segala ilmu dan cara yang diajar oleh guru untuk menjaringkan bola.

d)   Cooperating (Bekerjasama):
Pembelajaran dalam konteks berkongsi, bertindak balas, dan komunikasi dengan pelajar lain - merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang utama dalam pembelajaran konteksual. Pengalaman bekerjasama bukan sahaja membantu kebanyakan pelajar mempelajari bahan pengajian, malah ia juga dengan konsisten dengan fokus dunia sebenar tentang pengajaran konteksual. Majikan mementingkan pekerja yang boleh berkomunikasi, berkongsi maklumat dan bekerja dengan selesanya dalam pasukan di tempat kerja. Justeru itu, adalah penting bagi pelajar untuk melatih kemahiran bekerjasama di sekolah.
Contoh murid bekerja dengan ahli kumpulan untuk melakukan amali di padang. Penyelesaian amali Pendidikan Jasmani memerlukan delegasi, pemerhatian, cadangan dan perbincangan. Lazimnya, kualiti data yang dikumpul oleh sesuatu pasukan bergantung secara langsung kepada prestasi setiap ahlinya.

e)    Transferring (Memindahkan):
Pembelajaran sesuatu isi dalam konteks pengetahuan yang sedia ada, atau memindahkannya adalah berlandaskan apa yang telah diketahui pelajar. Pendekatan ini menyerupai RELATING iaitu ia berasaskan perkara-perkara yang lazim dan diketahui. Secara tradisinya, kebanyakan pelajar menghadapi situasi pembelajaran yang baru tanpa sebarang kaitan dengan pengetahuan sedia adanya. Guru boleh membantu meningkatkan keyakinan pelajar dengan menyediakan panduan yang dapat menghubungkan pengalaman pembelajaran baru dengan apa yang telah diketahui pelajar.
Contoh murid mempelajari cara untuk mendapatkan sudut tegak dengan menggunakan Teorem Pythagoras. Murid boleh memindahkan pengetahuan segitiga bersisi 3m, 4m dan 5m untuk menghasilkan sudut tegak dalam aktiviti mengecat garisan gelanggang permainan. Ini adalah penggabungjalinan di antara subjek Matematik, Pendidikan Jasmani dan juga Seni Visual. Selain itu, murid yang sesuai untuk pembelajaran kontekstual pula ialah murid yang terdiri dari kumpulan yang sederhana, cenderung kepada aplikasi konsep, terdorong melakukan aktiviti hands-on dan tidak yakin mempelajari Matematik dan Sains secara abstrak.

Perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Konteksual
Perlaksanaan ini memerlukan:

      Motivasi yang bertujuan untuk menarik minat dan mencetuskan idea asas terhadap sesuatu tajuk yang akan dibincangkan. Contohnya untuk mengajar murid kemahiran melompat, guru menggunakan video ataupun lagu ‘Katak Melompat’ bagi merangsang minat murid serta menarik perhatian mereka terhadap apa yang ingin di ajar oleh guru.

 Pemahaman yang mana ia merangkumi kemahiran murid yang berkaitan dengan tajuk yang dipelajari. Kaedah penyampaian maklumat harus dipelbagaikan agar dapat menarik minat murid terhadap sesuatu konsep itu. Murid diberikan kebebasan mengutarakan perkara-perkara yang berkaitan. Ini boleh dilakukan dengan bacaan, perbincangan kumpulan dan membuat kajian.

Kemahiran iaitu pengetahuan baru yang diperolehi murid dapat diaplikasikan bagi mencetuskan pemikiran murid dan dengan itu dapat menyelesaikan masalah harian.

 Penilaian pula boleh dilakukan dengan cara lisan, pemerhatian, perubahan sikap dan bertulis. Aktiviti boleh dilakukan dengan cara kuiz, perbincangan kumpulan dan penyediaan portfolio.


Kesimpulan
Pembelajaran secara kontekstual dapat membina keyakinan diri kerana murid dapat memahami perhubungan antara teori dan amalan. Pembelajaran secara kontekstual juga membina pendekatan kerja kumpulan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sekolah dapat memainkan peranan sebagai penghubung antara akademik dan alam pekerjaan dan dengan itu mendapat sokongan industri. Pendekatan kontekstual dapat membina asas kukuh tenaga kerja mahir masa depan untuk menguatkan kedudukan negara di peringkat dunia.

Teori ini menggalakkan pendidik memilih atau mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangkumi pelbagai pengalaman sama ada dalam konteks sosial, budaya, fizikal atau psikologi untuk mendapatkan hasil pembelajaran yang dihasratkan. Pendekatan konteksual merupakan suatu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mencabar, berkesan dan menyeronokkan, seterusnya dapat menyumbang ke arah pemeringkatan penguasaan kemahiran dan prestasi murid.



PEMBELAJARAN SECARA KONSTRUKTIVISME

   Definisi dan Konsep
            (Pusat Perkembangan Kurikulum), Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif dan menyesuaikan maklumat yang diterima dengan pengetahuan dan pengalaman sedia ada untuk membina pengetahuan baru.
Menurut pendapat John Dewey (1910), “Pendidik yang cekap harus melaksanakan P&P sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan. Murid juga harus mengambil bahagian secara aktif di dalam setiap aktiviti P&P.” Jean Piaget telah memperkenalkan empat fasa dalam perkembangan pemikiran kanak-kanak yang menjadi asas kepada kefahaman konstuktivisme iaitu :
·         Fasa Pertama   :Kanak-kanak menaakul tidak bercirikan struktur yang logik.
·         Fasa Kedua      : Definisi ciri-ciri struktur matematik logikal.
·         Fasa Ketiga      : Pembinaan pengetahuan melalui struktur mata pelajaran.
·         Fasa Keempat :Mekanisme perkembangan mengaitkan perhubungan antara asimilasi dan akomodasi.


Strategi konstruktivisme boleh diajar kepada murid dengan mengatur murid untuk melakukan kajian mereka sendiri. Selain itu, guru boleh menyediakan aktiviti dan murid akan mendapat pengalaman ketikan mereka melakukan tindakan tersebut. Guru membimbing dan murid akan cuba mencipta pengalaman baru berdasarkan kepada pengetahuan lama yang telah mereka ada. Contohnya, guru telah memperkenalkan konsep asas dan yang wajib diketahui oleh murid untuk menjadi penghadang ketika menjadi penjaga gol bola baling. Dengan kemampuan mereka sendiri, murid boleh cuba membina kaedah atau cara baru untuk mengelakkan bola daripada mudah masuk ke dalam gelanggang walaupun penjaga gol tersebut mempunyai saiz badan yang kecil.
Pembelajaran secara konstruktivisme memang wajar diaplikasikan dalam pengajaran kerana pelbagai sebab. Pertama, ia akan menggalakkan murid bertanya dan berdialog dengan murid serta guru menyokong pembelajaran secara koperatif. Kedua, pendekatan ini akan mengambil kita kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh murid kerana melalui pembelajaran konstruktivime, murid perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan amanah pada diri mereka sendiri. Ketiga, guru mampu menggalakkan dan menerima daya usaha murid lalu mereka tidak akan berasa tersisih ataupun pendapat mereka tidak boleh diguna pakai.
Seterusnya, pembelajaran konstruktivisme juga dapat memberi peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru dengan memahaminya melalui penglibatan murid dengan situasi dunia yang sebenar. Dan yang terakhir ialah, guru dapat mengambil kira dapatan kajian tentang bagaimana murid belajar sesuatu idea.
Hasil daripada pembelajaran konstruktivisme juga akan menimbulkan beberapa implikasi. Antaranya ialah, guru akan mengenalpasti pengetahuan sedia ada murid dan merancang kaedah pengajarannya dengan sifat asas pengetahuan tersebut. Kedua, pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid adalah lebih berpusatkan murid. Maka tugas guru akan berkurangan sedikit dan murid perlu belajar lebih secara berdikari. Ketiga, pengetahuan yang dipunyai oleh murid adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh murid tersebut  dan bukan  pengajaran yang diterima secara pasif. Mereka akan berasa berpuas hati kerana apa yang mereka dapat ialah hasil daripada usaha mereka sendiri. Dan yang terakhir ialah, guru berperanan sebagai pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru.


PEMBELAJARAN MASTERI
(Pusat Perkembangan Kurikulum), pembelajaran masteri ialah pendekatan pelajaran dan pembelajaran berkualiti dan sistematik untuk membolehkan semua murid menguasai setiap unit pembelajaran berdasarkan kemampuan sendiri dalam tempoh masa mencukupi yang diperuntukkan sebelum melangkah ke unit pembelajaran seterusnya. Konsep ini diperkenalkan oleh B.S. Bloom pada tahun 60an dengan berasaskan kepada satu prinsip atau falsafah iaitu semua pelajar boleh menguasai sesuatu perkara yang diajar sekiranya:
    1. ada masa yang cukup untuk pelajar menguasainya; dan
    2. pengajaran dan pembelajaran adalah berkualiti
Strategi ini sesuai diaplikasikan ke atas para pelajar kerana terdapat banyak kelebihannya. Antara sebab mengapa strategi ini boleh diamalkan ialah, pertama, ia dapat memastikan pelajar dapat menguasai sepenuhnya apa yang diajar. Dengan itu, apa yang diajar tidak akan menjadi suatu ilmu yang sia-sia. Pembelajaran masteri bukanlah perkara yang baru dan konsepnya berasaskan kepada satu prinsip iaitu semua pelajar boeh menguasai apa yang diajar jika diberi masa yang cukup dan pengajaran dan pembelajaran adalah berkualiti.
Selain itu, pembelajaran masteri juga menggalakkan guru menyelesaikan masalah yang dihadapi dan juga menggalakkan guru mengubahsuai kaedah atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan pelajar  dapat menguasai apa yang diajar. Disini, bukan sahaja murid yang mendapat faedah daripada pembelajaran masteri, malahan guru tersebut juga dapat memantapkan lagi ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Walaupun ada beberapa kekangan dalam pelaksanaan pembelajaran masteri, guru akan dapati bahawa bilangan pelajar yang dapat menguasai apa yang diajar akan bertambah dan ini akan memberi kepuasan kepada guru, pelajar dan pihak lain. Tambahan lagi, pencapaian pelajar yang telah meningkat, walaupun sedikit, akan merangsang guru dan pelajar untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.


Cara Melaksanakan Pembelajaran Masteri
Beberapa orang tokoh dalam pembelajaran masteri telah mencadangkan pelbagai strategi untuk melaksanakannya. Pada asasnya guru perlu merancang dan melaksanakan empat langkah berikut:
    1. Menentukan hasil pembelajaran untuk sesuatu unit pembelajran;
    2. Mengajar dengan kaedah atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan menggunakan alat bantu mengajar yang sesuai;
    3. Menilai dengan ujian diagnostik, formatif, dan sumatif; dan
    4. Menjalankan aktiviti pemulihan dan pengayaan
Sasaran pencapaian dalam pembelajaran masteri ialah semua pelajar harus mendapat sekurang-kurangnya markah 80%. Guru boleh memulakan dengan markah 50% sebagai sasaran pencapaian dan markah itu harus dinaikkan beransur-ansur kepada markah 80%. Dalam melaksanakan strategi pembelajaran masteri, guru dan murid sama-sama mempunyai peranan dan tugas masing-masing bagi menjayakan pnp yang dirancang.
Bagi seorang guru, peranan guru adalah sebagai pemimpin, pengajar dan fasilitator pembelajaran. Guru tidak perlu membuat perubahan yang besar dalam melaksanakan pembelajaran masteri kerana langkah-langkah tersebut di atas sudah disarankan dalam KBSR dan KBSM secara tersirat. Sementara itu, tugas guru dalam pelaksanaan pembelajaran masteri ialah:
    1. Menentukan hasil pembelajaran untuk dikuasai;
    2. Mengubahsuaikan kaedah atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk pembelajaran masteri;
    3. Melatih pelajar dalam kemahiran belajar dan kemahiran berfikir supaya mereka dapat menjadi pelajar berdikari;
    4. Mengenal pasti pelajar yang belum dan sudah menguasai apa yang diajar melalui ujian diagnostik;
    5. Menjalankan aktiviti pemulihan dan pengayaan; dan
    6. Menilai prestasi pelajar melalui ujian sumatif.
  1. Dalam melaksanakan pembelajaran masteri, guru mungkin menghadapi pelbagai masalah dan tiada penyelesaian yang tepat dapat diberi untuk mengatasi masalah itu.
  2. Guru digalakkan mengatasi masalah itu melalui pembelajaran koperatif dengan rakan-rakan sejawat dalam panitia mata pelajaran.
  3. Pelajar akan bermanfaat daripada usaha guru untuk mengatasi masalah itu.
  4. Pada mulanya guru mungkin mengambil masa yang panjang untuk pelajar menguasai sesuatu perkara akan tetapi, dalam masa jangka panjang dan dengan bertambahnya pengalaman guru, masa untuk mencapai pembelajaran masteri dapat dipendekkan.
Bagi pelajar pula, peranan mereka adalah seperti menjadi seorang pelajar berdikari yang boleh merangsang diri untuk belajar dan menguasai apa yang diajar. Pelajar harus diberi latihan dalam kemahiran belajar dan kemahiran berfikir supaya mereka dapat menjadi pelajar berdikari. Dalam pembelajaran masteri seseorang pelajar harus belajar dan bukan bertanding di antara satu sama lain dan ini dapat dilakukan melalui pembelajaran koperatif dengan rakan-rakan sebaya dalam kumpulan. Tugas pelajar dalam pembelajaran masteri ialah dia harus:
    1. tahu akan hasil pembelajaran untuk dikuasai
    2. belajar dengan tekun, tabah dan bermotivasi
    3. betul-betul memahami dan menguasai apa yang diajar
    4. memberitahu guru tentang perkara yang belum difahami atau dikuasai
    5. membuat kerja pemulihan atau kerja pengayaan yang diberi