Wednesday 2 November 2011

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran dan Aplikasi dalam Sukatan Pelajaran PJ KBSR atau KSSR(PJM 3110 SEM 4)

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran dan Aplikasi dalam Sukatan Pelajaran PJ KBSR atau KSSR

Strategi Pembelajaran Kontekstual
Pengajaran secara kontekstual ialah proses pengajaran guru yang mengaitkan ilmu yang dipelajari dengan pengalaman seharian perseorangan, masyarakat dan dunia pekerjaan. Pengajaran ini melibatkan perkongsian pemikiran dan pengalaman guru untuk memberi kefahaman kepada  pelajar  kerana proses  pengajaran dan pembelajaran itu sendiri melibatkan pelajar, pengajar dan bahan pengajaran. Selain daripada itu, pengajaran ini juga menghubungkan isi pelajaran  dengan dunia sebenar, proses interaksi antara pelajar dengan  pelajar yang lain serta menjadikan situasi pengajaran di kelas sebagai  simulasi kepada tempat kerja. Pelajar juga disediakan dengan aplikasi amali untuk dipelajari (Hull D., 1995).
Kaedah Pengajaran secara kontekstual menurut Hull D.(1997) mempunyai ciri-ciri yang perlu dilaksanakan agar pengajaran lebih berkesan. Ciri yang pertama ialah   guru  menghubungkaitkan  pengajaran dalam konteks pengalaman hidup. Guru perlu membantu pelajar memahami tujuan mempelajari sesuatu tajuk dan menghubungkaitkan pengetahuan  baru dan pra-pengetahuan pelajar. Menurut Wan Absah bte Wan Kadir (1997) perkara ini akan membolehkan pelajar mendapat gambaran yang jelas tentang perkaitan apa yang dipelajari dengan penggunaan harian dan  pelajar mengetahui penggunaan ilmu dalam bidang pekerjaan serta memberi pendedahan kepada pelajar tentang profil pekerjaan. 
Ciri yang kedua ialah pengalaman. Dalam pengajaran, guru memberi pendedahan, penemuan dan penciptaan kepada pelajar. Guru dikehendaki melibatkan pelajar secara aktif dalam membuat ujikaji dan menemui idea dan fakta. Ini akan menjadikan pelajar dapat melibatkan diri dengan ujikaji secara menyeluruh dan membentangkan hasil kerja mereka dengan lebih yakin. Dengan itu, pelajar telah memperoleh pengalaman yang berguna dalam  pembelajaran di kelas (Wan Absah Wan Kadir,1997). 
Ciri yang ketiga dalam pengajaran secara kontekstual ialah aplikasi. Dalam hal ini, guru  menyalurkan sesuatu pengajaran kepada pelajar dan pelajar boleh menggunakan maklumat yang ada  untuk menyelesaikan masalah yang mungkin dihadapi dalam alam pekerjaan pada masa akan datang.  Semasa pengajaran dijalankan, para pelajar didedahkan dengan aktiviti - aktiviti yang membolehkan mereka mengaplikasikan aktiviti dalam kelas dengan aktiviti di luar. Menurut Hungate (1982), ciri-ciri aplikasi dalam  pengajaran telah dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam satu-satu mata pelajaran yang diajar.
Ciri yang keempat pula ialah bekerjasama iaitu pengajaran dalam konteks berkongsi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Guru memainkan tugas penting dalam mewujudkan sikap bekerjasama yang baik dalam pengajaran dan  menjadikan proses pengajaran lebih aktif dengan mempelbagaikan aktiviti yang melibatkan pelajar   (Pedrotti L. S.,1997). Kesannya,  membolehkan individu mengenalpasti minat dan keperluan pembelajaran yang unik, perbezaan individu dan pelajar lebih memahami aspirasi kumpulan.
Ciri yang kelima ialah pemindahan pembelajaran iaitu pengajaran dalam konteks penyaluran pengetahuan oleh guru. Guru akan menyalurkan pengetahuan mereka melalui kaedah-kaedah yang disarankan dalam kaedah pengajaran secara kontekstual dengan cara timbal balik.Guru akan membimbing pelajar menemui pengetahuan baru melalui penerokaan, pengujian dan mencari jawapan. Kesemua  ciri ini dapat dilaksanakan dengan bantuan penggunaan media pengajaran yang berkesan (Hull D., 1997). Pemindahan ini juga akan menyebabkan pelajar lebih mudah membuka peluang sedia ada mereka melalui pelbagai situasi pembelajaran 

Dalam proses pembelajaran secara kontekstual, murid akan melalui satu atau lebih daripada kaedah-kaedah pembelajaran berdasarkan REACT( Relating-menghubungkait, Experiencing - mengalami, Applying – mengaplikasi, Cooperating – bekerjasama, dan Transfering – memindahkan). Di dalam pengajaran kemahiran pendidikan pergerakan gimnastik artistik iaitu imbangan, pengajaran secara konstektual turut digunakan dengan menggunakan kaedah REACT. Untuk Relating iaitu menguhubungkait,contoh  yang jelas adalah untuk aktiviti imbangan statik. Menerusi pengalaman ini murid dapat menghubungkaitkan kepentingan pusat graviti dan keluasan tapak untuk kestabilan.
Untuk Experiencing pula iaitu mengalami, contoh aktiviti ialah melakukan aktiviti imbangan dengan sebelah kaki, dua belah kaki dan lain-lain bahagian badan. Menerusi aktiviti ini murid dapat berasa atau mengalami perbezaan kestabilan dengan dirian atas satu kaki, dua kaki dan sebagainya. Applying pula ialah mengaplikasi. Di dalam aktiviti imbangan ini, murid dapat mengaplikasikan pengetahuan ini apabila mendirikan khemah, membina model bangunan melalui permainan lego.
Untuk aktiviti membina model piramid manusia, elemen yang diterapkan ialah Cooperating iaitu bekerjasama. Murid dapat bekerjasama melalui perbincangan dalam menghasilkan gerak kerja yang diarahkan oleh guru.  Dan yang terakhir adalah Transfering iaitu memindahkan. Dengan mempelajari konsep stabiliti, murid dapat memindahkan pengalaman ini ketika menyusun tin susu di dalam kedai atau pasaraya atau membina rak buku yang bertapak besar.


Strategi Pembelajaran Masteri
Pengajaran secara masteri ialah suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang mencukupi dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Bagi memastikan aktiviti yang dijalankan berkesan dan boleh merangsang minat murid, guru perlulah mempelbagaikan kaedah pengajaran. Sebagai contoh menggunakan kaedah-kaedah pengajaran yang melibatkan visual , audio dan kinestetik.
Dalam pembelajaran ini pelajar dan guru mesti menentukan objektif pembelajaran, pengajaran dan pembelajaran terbimbing, menilai pengajaran dan pembelajaran.  Akhir sekali aktiviti pengayaan dan pemulihan perlu dilakukan ke atas pelajar.Strategi ini akan berjaya jika guru memainkan peranan penting dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.  Guru mesti menentukan objektif pembelajaran, merancang isi unit pelajaran dan menggubal soalan-soalan bagi penilaian sumatif.

Pembelajaran Masteri adalah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran alternatif yang mendorongkan pelajar sampai kepada satu tahap penguasaan unit – unit pengajaran tertentu sebelum mereka dibenarkan maju atau meneruskan pembelajaran ke unit seterusnya. Selain itu, pembelajaran masteri juga adalah pembelajaran yang berasaskan andaian bahawa pelajar boleh menguasai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan sekiranya pelajar diberikan arahan yang jelas dan masa yang mencukupi (Boom,1968, dan lain – lain dalam Woolfolk,1998 ms 334) .

Pembelajaran Masteri bukan satu konsep yang baru dan ia telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan di Amerika melebihi 70 tahun dahulu. Ia adalah satu proses di mana pelajar mencapai aras yang sama terhadap kandungan Masteri tetapi pada tahap – tahap jarak jangka masa “interval” yang berlainan. Sistem sekolah yang melaksanakan pembelajaran Masteri mendapati ia berkesan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Selain itu pada zaman Comenius, Pestalozzi dan Herbert (Bloom 1974) pendekatan pembelajaran masteri telah digunakan. Tetapi penggunaannya pada zaman moden ini banyak terhasil dari kajian dan penulisan Bloom.
            Idea untuk Pembelajaran Masteri bergerak pada satu tahap anjakan di mana tanggungjawab pembelajaran adalah bergantung sepenuhnya kepada guru. Kegagalan dalam pembelajaran terletak pada pengajaran guru dan bukan kepada kurangnya pada pihak pelajar. Dalam persekitaran Pembelajaran Masteri, cabaran adalah memberi  cukup masa dan menggunakan strategi – strategi pengajaran supaya semua pelajar boleh mencapai satu aras pembelajaran yang sama. (Levine,1985; Bloom, 1981) elemen penting bagi Pembelajaran Masteri adalah menentukan dengan jelas apa yang dipelajari dan bagaimana ia akan dinilai, membenarkan pelajar belajar mengikut keupayaan mereka. Menilai kemajuan pelajar dan menyediakan pemulihan atau tindak balas yang sesuai dan menguji untuk melihat sama ada kriteria pembelajaran telah dapat dicapai atau tidak.
 Bloom membuat kesimpulan bahawa masa yang mencukupi dan berkualitipengajaran membolehkan semua pelajar boleh belajar. Teori pembelajaran masteri berkesudahan dengan satu peralihan yang radikal dalam tanggungjawab guru. Kegagalan pelajar bersandar kepada pengajaran guru dan bukan keran ketidakupayaan pada pihak yang sejajar. Dalam  persekitaran pembelajaran jenis ini cabaran berlaku terutamanya dalam penyediaan cukup masa dan menggunakan strategi pengajaran yang sesuai supaya semua pelajar mampu mencapai aras pembelajaran yang sama. 

Pembelajaran Masteri merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran yang terancang dan berkualiti serta berpandukan tahap penguasaan murid. Model Pembelajaran Masteri dimulakan dengan Penentuan Hasil Pembelajaran, dan diikuti dengan Pengajaran dan Pembelajaran. Tujuan menentukan hasil pembelajaran murid adalah untuk memastikan murid semua berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diberikan dengan kadar kemampuan biasa seseorang murid di tahap tersebut. 
Setelah dibuat penilaian, murid yang telah menguasai akan diteruskan dengan aktiviti pengayaan dan bagi  murid yang belum menguasai akan  diteruskan dengan aktiviti pemulihan. 
i. Hasil pembelajaran perlu ditentukan, dan disusun mengikut hierarki atau unit pembelajaran.
ii. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran hendaklah bermakna, berkesan, menarik dan mengembirakan.
iii. Keupayaan dan Pencapaian dinilai semasa aktiviti Pembelajaran.
iv. Bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkaitan.
v. Semua murid perlu menguasai 80% aras masteri yang ditetapkan setiap unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran yang baru.
vi. Aktiviti pemulihan dilaksanakan untuk murid yang belum menguasai aras masteri.


Sebagai contoh dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani adalah  pengajaran tentang pertolongan cemas. Untuk set induksi, guru boleh pelajar  menonton klip video yang menunjukkan 2 mangsa, satu alami  kecederaan patah dan satu terseliuh. Langkah pertama pula adalah aktiviti perbincangan dalam kumpulan iaitu pelajar membuat banding beza tanda-tanda patah dan terseliuh dalam lembaran kerja individu. Aktiviti diteruskan lagi dengan menonton klip video cara melaksanakan bantuan awal bagi kecederaan patah dan terseliuh.
Langkah 3 pula guru menerangkan cara melakukan bantuan awal bagi patah dan terseliuh. Manakala langkah 4 membuat simulasi bantuan awal bagi patah dan terseliuh. Dan untuk penutup pelajar melengkapkan lembaran kerja. Di dalam pengajaran ini, guru memberikan aktiviti selepas pelajar menguasai satu tahap kepada tahap yang lebih susah. Setiap aktiviti yang dirancang mengambil kira tahap kefahaman pelajar mengenai pengajaran yang diajar oleh guru.
Dengan mengetahui kebolehan dan keupayaan mur id yang berbeza, guru dapat merancang kaedah pengajaran yang juga berbeza dan berbagai-bagai bagi memudahkan murid menguasai ilmu yang disampaikan. Dengan merujuk kepada kadar penerimaan dan kesanggupan, murid akan dapat menguasai ilmu pada kadar kemampuan mereka. Untuk itu, guru seharusnya mengenali murid mereka.


Strategi Pembelajaran Konstruktivisme
Teori Konstruktivisme ditakrifkan sebagai pembelajaran yang bersifat generatif, iaitu tindakan mencipta sesuatu maksud daripada apa yang individu telah pelajari. Konstruktivisme sebenarnya bukan merupakan idea yang baru, apa yang dilalui dalam kehidupan sebenar selama ini merupakan himpunan dan pembinaan pengalaman demi pengalaman. Justeru,  menyebabkan seseorang itu mempunyai pengetahuan dan menjadi lebih dinamik.
Menurut Arends, R.I.(1997), pembelajaran secara konstruktivisme ini boleh didefinisikan sebagai satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Lev Vygotsky, seorang ahli psikologi Rusia percaya bahawa pelajar yang bijak adalah individu yang berhadapan dengan benda baru dan menggunakan pengalaman serta mereka bersungguh-sungguh untuk menghuraikan kelainan berdasarkan pengalaman-pengalaman tersebut.
Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Proses ini akan menyesuaikan pengetahuan murid yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Briner (1999), berpendapat bahawa murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasinya dalam situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperolehi dengan binaan intelektual yang sedia wujud.
 Manakala, Mc Brien dan Brandit (1997) menjelaskan bahawa konstruktivisme adalah suatu pendekatan pengajaran berdasarkan penyelidikan cara manusia belajar. Para penyelidik berpendapat bahawa setiap individu membina pengetahuan, bukan hanya menerima input atau pengetahuan daripada individu lain. Pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir melalui pengalaman sedia ada. Dalam proses ini murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru dalam mindanya.
Pendekatan pembelajaran secara konstruktivisme  melibatkan lima elemen. Kelima – lima elemen ini saling berkaitan antara satu sama lain. Antara lima elemen tersebut ialah Penglibatan (Engage), Penjelajahan (Explore), Penerangan (Explain), Penghuraian (Elaborate), dan Penilaian (Elvaluate). Untuk elemen penglibatan, ia adalah mengenai penglibatan pelajar itu sendiri iaitu simulasi perasaan ingin tahu pelajar melalui pemberian suatu tugasan, topik  atau konsep, memupuk minat dan membangkitan persoalan. Sebagai  contoh dalam pendidikan jasmani , untuk mengajar tentang kemahiran koordinasi, guru tersebut akan mengajar permainan belalang belatuk dahulu bagi menarik minat pelajar mengikuti pengajaran tersebut. Dalam permainan belalang belatuk itu sendiri guru telah menerapkan kemahiran koordinasi iaitu koordinasi tangan dan kaki.
Elemen  penjelajahan pula bertujuan bertujuan memuaskan perasaan ingin tahu melalui penggunaan pendekatan  inkuiri untuk menjelajah dan menyiasat, melalui eksperimen, menggalakkan pelajar untuk bekerjasama dan menyoal. Elemen ini bagi meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti pengajaran. Sebagai contoh, dalam aktiviti belalang belatuk, murid menjelajah sendiri permainan iaitu bagaimana mereka melaksanakan permainan tersebut dengan bimbingan guru. Aktiviti ini menggalakkan pelajar untuk bekerjasama dalam kumpulan itu sendiri.
 Elemen  penerangan pula adalah satu pendekatan yang melibatkan definisi konsep dan pernyataan. Pertanyaan tentang penerangan orang lain dan membuat pertimbangan dan penjelasan. Sebagai contoh, untuk memulakan sesuatu permainan belalang belatuk tersebut, guru haruslah menerangkan cara permainan terlebih dahulu bagi memberikan kefahaman kepada murid untuk melaksanakan permainan tersebut.
Elemen penghuraian bermaksud memperdalamkan lagi konsep ke dalam sudut kandungan yang lain. Pelajar akan menghubungkaitkan dan melihat perhubungan suatu konsep atau topik dalam sudut kandungan yang lain dan membuat perkaitan dengan konsep atau topik ke dalam situasi dunianya. Sebagai contoh adalah permainan belalang belatuk, murid menghubungkaitkan koordinasi tangan dan kaki dalam melaksanakannya. Selain itu, pemilihan sesuatu permainan dalam sesautu kemahiran adalah berkaitan dengan kemahiran yang hendak diajar oleh guru tersebut.
Elemen yang terakhir ialah elemen  penilaian. Di dalam elemen ini, guru menilai pemahaman pelajar melalui demonstrasi pemahaman dan kemahiran atau konsep pengetahuan. Mengakses pengetahuan pelajar dan kemahiran dan konsep. Mengemukakan soalan terbuka (contoh: apa yang sedang anda fikirkan?). sebagai contoh, selepas guru mengajar teknik-teknik koordinasi yang betul kepada pelajar, guru akan menyuruh pelajar main satu permainan yang berkaitan. Di dalam permainan ini, guru akan lihat tahap kefahaman murid tentang kemahiran yang telah guru ajar dan bagaimana mereka mengaplikasikannya dalam permainan yang telah dipilih.
Pembelajaran konstruktivisme memiliki beberapa kelebihan yang harus dimanipulasi oleh guru dan murid. Pusat perkembangan kurikulum (1991) menyatakan pembelajaran secara konstruktivisme menggalakkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Ia menggalakkan murid berfikir untuk menyelesaikan sesuatu masalah, menjana idea dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran, misalnya dalam aktiviti penyelidikan dan penyiasatan dan pengujian hipotesis. Ini akan membantu murid membina konsep kendiri positif. Murid akan memahami sesuatu konsep dan idea dengan lebih jelas kerana mereka terlibat secara langsung untuk membina pengetahuan baru dan mengaplikasikannya dalam kehidupan atau situasi baru.
Hasil daripada proses tersebut murid dapat membina ingatan jangka panjang tentang sesuatu konsep melalui penglibatan yang aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan yang baru. Keyakinan murid dapat dipupuk hasil daripada pembelajaran ini dan membolehkan seseorang murid bersedia untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Di samping itu, murid juga dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka iaitu dapat bekerjasama dengan orang lain menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila murid berinteraksi dengan rakan – rakan dan guru untuk membina pengetahuan mereka. 
Antara kelebihan-kelebihan kaedah pengajaran konstruktivisme, pertama adalah, guru merupakan penolong, pemudahcara dan perancang. Guru hanya berperanan menyampaikan teori pengajaran dan menghubungkait dengan pengalaman murid untuk pemahaman. Guru memilih idea yang terdekat dengan prinsip yang hendak diajar kepada murid. Ini bermakna, pelajar adalah peranan utama dalam aktiviti pembelajaran. Libatkan diri secara langsung dengan penyelesaian masalah yang dilaksanakan dalam kelas. Kedua, terapkan nilai koperatif dan kolaboratif dalam diri murid. Murid diminta bekerjasama dalam kumpulan memberikan hipotesis mereka sendiri.
Kaedah ini boleh memotivasikan pelajar, membimbing, dan menggalakkan pelajar melibatkan secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ketiga, tidak menggunakan kaedah atau teknik tradisi seperti, syarahan, menghafal dan mengingat. Murid mendapat ilmu pengetahuan berdasarkan pengalaman yang dibina dalam minda bukannya yang wujud dalam luar minda mereka. Aktiviti yang dilaksanakan dan alat bantu mengajar yang menarik serta pelbagai, membuatkan murid mudah faham dan berasa seronok. Keempat, penguasaan teknik lisan dan bukan lisan. Guru hanya membentangkan teori dan pelajar akan mengadaptasinya sendiri berdasarkan pengalaman sendiri. Manakala aktiviti dalam kelas memperkukuhkan lagi pemahaman murid. Ini bermakna, guru dan murid ada menggunakan kaedah timbal balik, di mana penggunaan serta penguasaan teknik lisan dan bukan lisan diaplikasikan.
Kesimpulannya, konstruktivisme adalah satu teori mengenai pengetahuan yang sangat berhubung kait dengan cara seseorang individu membina pengetahuan. Ahli–ahli konstruktivisme menyatakan bahawa manusia membina sendiri pengetahuannya dalam skemata kognitif masing–masing. Teori ini juga adalah satu model pembelajaran yang berasaskan kepercayaan bahawa pemahaman pengetahuan tidak diperolehi secara siap sedia, sebaliknya adalah hasil interaksi murid–murid dengan alam sekeliling.
Tegasnya, pengetahuan diperolehi dengan cara kombinasi yang dihasilkan oleh persekitaran dan pelajar itu sendiri. Murid–murid membina pengetahuan mereka sendiri dengan menyepadukan maklumat dan idea baru ke dalam struktur pengetahuan yang sudah sedia ada. Hari ini konstruktivisme adalah idea yang sangat relevan mengenai cara murid–murid belajar dan impaknya terhadap pendidikan sains. Pembelajaran berlaku apabila murid–murid  membina kefahamannya sendiri dengan membuat perkaitan di antara idea baru dengan pengetahuan sedia ada. Justeru itu, teori konstruktivisme memberi penekanan terhadap pembelajaran yang bermakna, penyusunan kurikulum, konsep asas, menggalakkan murid–murid membuat penyiasatan dan menilai untuk memandu pembelajaran murid–murid di bilik darjah.


No comments:

Post a Comment

^_^