Wednesday 7 September 2011

BMM 3101(SEM 3)

1.0 Mencari bahan rujukan berkaitan kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah serta menyenaraikan bibliografi hasil rujukan.

1.1 Kemahiran Bahasa
Kemahiran bahasa terdiri daripada 3 komponen iaitu kemahiran lisan, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.  Kemahiran lisan merangkumi kemahiran mendengar dan bertutur.  Dalam pengajaran Bahasa Melayu, keempat-empat kemahiran ini perlu dikuasai oleh semua murid-murid sekolah rendah.  Ini kerana kemahiran bahasa merupakan asas kepada penguasaan bahasa baku.  Namun begitu, masih terdapat sebilangan murid sekolah rendah yang gagal menguasai kemahiran-kemahiran ini.  Jika dilihat pada situasi hari ini, masih ada murid yang berada pada tahap 2 tidak mampu menulis dan membaca dengan betul.  Hampir semua sekolah rendah di Malaysia juga mempunyai kelas pemulihan.  Kesannya, kebanyakkan guru-guru sekolah rendah menghadapi masalah di dalam merancang dan melaksanakan aktiviti yang melibatkan kemahiran berbahasa. 
Dalam menangani masalah lemah dalam kemahiran berbahasa, guru-guru perlu mengenal pasti apa yang dikatakan aspek-aspek penting dalam keempat-empat kemahiran bahasa ini.  Setelah mengenal pasti masalah yang menjadi penghalang dalam merancang aktiviti melibatkan kemahiran berbahasa ini, guru bahasa bolehlah merancang aktiviti yang sesuai dan dapat menarik minat pelajar untuk menguasai kemahiran berbahasa.
Sebelum sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung, guru seharusnya menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).  RPH ini bertujuan untuk mencapai suatu objektif yang diharapkan.  Dalam RPH yang disediakan juga perlu menggabungjalinkan kemahiran-kemahiran bahasa seperti mendengar, bertutur, membaca dan menulis.  Kesimpulannya, penguasaan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid perlu diberi perhatian.  RPH yang disediakan juga perlu mengandungi aktiviti berbahasa yang dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari Bahasa Melayu.





Kemahiran mendengar
Kemahiran mendengar merupakan kemahiran lisan yang paling asas dan ia berlaku pada peringkat penerimaan.  Seseorang murid yang telah dapat menguasai kemahiran mendengar dengan baik biasanya harus dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan dapat pula memahami maksud serta membuat tafsiran daripada apa yang didengar.
            Mendengar melibatkan tiga perkara asas iaitu mendengar, memahami dan menilai.  Mendengar bermaksud memberikan perhatian pada perkara yang disampaikan oleh penutur.  Memahami pula bermaksud mengambil perkara yang telah kita dengari dan memahaminya dengan cara kita sendiri.  Menilai pula berlaku setelah kita memahami perkara yang disampaikan oleh penutur, kita mula memikirkan sama ada kenyataan itu memberikan makna tertentu dan kita hanya dapat menerimanya tanpa berfikir.
Konsep kemahiran mendengar merupakan kemasukan input bahasa atau bukan bahasa melalui alat pendengaran manusia, iaitu telinga.  Kemasukan input bahasa yang berupa penyerapan makna ayat dan ujaran seterusnya dilakukan  oleh otak untuk diproses.  Sesetengah berpendapat bahawa mendengar merupakan aktiviti seni yang merujuk kepada seni mendengar dan memahami perkara yang diperkatakan oleh penutur.  Konsep mendengar juga merujuk kepada aktiviti memberikan tumpuan kepada sesuatu yang sampai ke telinga, memberikan tindak balas secara teratur dan memberikan gerak balas terhadap bunyi.
Konsep penting tentang pendengaran merupakan gabungan daripada segala yang didengar, difaham dan diingat, berlaku melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat, individu banyak mendengar melalui pengalaman daripada kecerdasan otaknya, proses pendengaran dipengaruhi aspek fizikal, psikologi dan neurologi, pendengaran yang cekap memerlukan penyatuan idea yang logik dan berkesan, pendengaran berlaku melalui fikiran dan bukan perasaan, serta pendengaran untuk tujuan apresiasi memerlukan analisis kritis terhadap bentuk dan isi.




Kemahiran bertutur
Bertutur merupakan kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat-alat sebutan (artikulator) manusia.  Kemahiran bertutur berlaku semasa di peringkat produksi lagi.  Ia  bukan dicipta oleh pelajar tetapi ditiru dan diajuk.  Model-model yang diperdengarkan seharusnya merupakan model-model yang baik bagi membolehkan pelajar-pelajar bertutur secara berkesan.  Kemahiran bertutur mempunyai hubungan dengan operasi mental kerana ia merupakan pengintepretasian ujaran, iaitu proses yang membolehkan individu memahami dan menelah ujaran yang didengar.
Konsep kemahiran bertutur merupakan  gabungan daripada bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan, berlaku di peringkat produksi iaitu berlaku setelah si penutur itu dapat mendengar dan memahami dengan baik apa yang didengarnya, individu banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada kecerdasan otaknya, dan dipengaruhi oleh aspek fizikal, kesihatan, persekitaran dan jantina.
Konsep kemahiran bertutur yang lain adalah  merupakan pertuturan  yang baik boleh dikuasai dengan memberi tumpuan kepada aspek fonologi, struktur, intonasi dan penguasaan sistem bunyi yang lain, keupayaan manusia mengujarkan kata-kata, melibatkan individu berkata-kata atau bercakap, penutur menzahirkan pendapat dan perasaan melalui bunyi bahasa yang bermakna, serta aktiviti melafazkan kata-kata untuk tujuan berinteraksi










Kemahiran membaca
Membaca bermaksud memindahkan tulisan kepada suara.  Selain itu, membaca juga didefinisikan sebagai bukan memindahkan tulisan kepada suara sahaja bahkan menangkap makna dan memahami apa yang dibaca.  Seseorang murid yang boleh memindahkan tulisan kepada suara, walau bagaimana lancar sekalipun, jika tidak memahami perkara yang disuarakan maka murid itu tidak dikira sebagai pandai membaca.   Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa membaca ialah menyuarakan tulisan , mengambil isi dan fikiran yang tertulis dan memahamkan kandungannya.
Menurut Leferre (1973), membaca merupakan satu proses yang berkait rapat dengan bahasa, iaitu membaca sebagai a language related process.  Menurut Cohen (1990), membaca memerlukan kemahiran mentafsir serta pemikiran yang tinggi untuk memahami makna daripada teks yang bercetak.  Membaca juga merupakan proses kemahiran yang aktif bagi mengintepretasikan makna dan mendapatkan pengetahuan daripada bahasa tulisan dan visual. 
Tiga konsep asas membaca yang pernah digunakan ialah membunyikan perkataan demi perkataan, pengenalpastian perkataan demi perkataan dan memperoleh maknanya , serta  memberikan makna kepada teks yang dibaca serta memahami teks tersebut.
 Menurut buku The American Heritage Dictionary of The English Language (2003), definisi membaca ialah intepretasi terhadap sesuatu situasi atau perkara yang diperkatakan, proses kognitif untuk memahami bahasa tulisan (melibatkan penghasilan dan pemahaman komunikasi linguistik), keupayaan untuk menyuarakan bahan bertulis (komunikasi yang melibatkan simbol-simbol tulisan, serta gambaran mental tentang makna daripada perkara yang diperkatakan, idea atau visual yang dilihat.







Kemahiran menulis
Tulisan adalah bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi.  Tulisan juga merupakan alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan.  Ia merupakan bahasa yang tersusun yang berupa rangkai-rangkai kata dan ayat-ayat.  Menulis ialah perbuatan mencatatkan kata-kata dengan huruf dan menggunakan alat tulis, melahirkan perasaan atau fikiran melalui tulisan dan catatan yang memakai huruf.  Menulis juga bermaksud memzahirkan apa-apa yang ada dalam minda melalui media tulisan agar terhasil teks yang dapat dibaca dan seterusnya difahami oleh orang lain.
Di sekolah, menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat serta mengeluarkan idea melalui pelbagai penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda bacaan dan ejaan yang betul serta tulisan yang jelas dan kemas. 
Secara umumnya, terdapat beberapa konsep menulis iaitu  menulis merupakan aktiviti menghasilkan bahan-bahan bertulis, menulis merupakan hasil kerja penulis iaitu sebarang perkara yang diluahkan dalam bentuk huruf dan alphabet. Menulis juga  merupakan huruf atau simbol yang dicetak bagi mewakili bunyi atau perkataan sesuatu bahasa, menulis merupakan penggunaan huruf atau simbol bagi menggambarkan sesuatu makna,  dan menulis merupakan satu bentuk penulisan yang digunakan oleh penulis bagi mempersembahkan idea dan pendapat.









1.2 Kemahiran Bernilai Tambah
Menurut Kamarudin Hj. Husin (1995), kemahiran bernilai tambah ialah kemahiran yang diajarkan dalam bilik darjah serta dapat diaplikasikan dalam suasana dunia sebenar murid dan dalam senario dunia yang global. Kemahiran bernilai ini tambah beliau melibatkan aktiviti-aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Berdasarkan kepada definisi yang diberikan oleh beliau ini, dapat kita fahami bahawa kemahiran bernilai tambah ini merupakan sebarang kemahiran yang boleh diajarkan kepada murid-murid dalam membantu meningkatkan keupayaan dan potensi individu seseorang murid. Pelaksanaan atau penerapan kemahiran bernilai tambah ini terhadap murid-murid seharusnya menjadi unsur atau nilai tambah terhadap diri murid-murid untuk diaplikasikan dalam suasana sebenar murid tersebut iaitu dalam kehidupan seharian murid.
            Tuan Jah Tuan Yusof (2011) bersependapat dengan Kamarudin Hj. Husin (1995) berkaitan takrifan kemahiran bernilai tambah ini. Beliau memberikan definisi yang sama seperti takrifan sebelumnya iaitu yang mana kemahiran bernilai tambah ialah kemahiran yang diajarkan kepada murid dan dapat diaplikasikan dalam keadaan dunia sebenar. Hanya, beliau menambah di sini bahawa kemahiran bernilai tambah ini adalah sama dengan kemahiran generik atau mengalami sedikit pengubahsuaian menjadi kemahiran yang dinamakan sebagai kemahiran bernilai tambah. Manakala, dari segi pelaksanaan pula, pendekatan dan teknik serta kaedah tertentu digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Di sini, dapat kita fahami juga yang mana kemahiran bernilai tambah merupakan kemahiran yang menjadi nilai tambah atau dapat digunakan oleh murid dalam meningkatkan pemahaman dan keupayaan diri mereka. Sebenarnya, kemahiran bernilai tambah ini diadaptasi daripada kemahiran generik dengan sedikit pengubahsuaian berdasarkan kaedah dan teknik pengajaran yang bersesuaian.
           




Dalam Kamus Dewan (1966), kemahiran dinyatakan sebagai kecekapan atau kepandaian tentang sesuatu perkara. Nilai pula ditakrifkan sebagai kualiti, kadar atau taraf yang dimiliki oleh sesuatu sama ada benda, manusia atau apa saja bentuk entiti dan tambah ditakrifkan sebagai sesuatu yang ditokok pada sesuatu yang lain supaya menjadi lebih banyak. Berdasarkan kepada definisi tentang ketiga-tiga istilah ini, dapat kita rangkumkan maknanya sebagai kecekapan atau kepandaian yang mempunyai kualiti atau kadar yang boleh ditokok pada kemahiran sedia ada agar menjadi semakin bertambah. Dalam erti kata lain, kemahiran-kemahiran yang diajar dan diterapkan mempunyai nilai yang tinggi dan berfaedah serta dapat membantu meningkatkan keupayaan dan potensi individu yang dimiliki oleh setiap dalam kalangan murid.
Berdasarkan kepada konsep-konsep dan definisi yang telah diberikan berkaitan kemahiran bernilai tambah ini, dapat kita simpulkan takrifan tersebut mengikut pemahaman kita iaitu kemahiran bernilai tambah merupakan sebarang kemahiran yang dapat diajarkan kepada murid-murid sebagai nilai tambah dalam memahirkan dan meningkatkan keupayaan dan potensi diri mereka.  Kemahiran bernilai tambah tersebut ialah kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme dan juga pembelajaran kontekstual.
















Kemahiran Berfikir

Menurut Tuan Jah Tuan Yusof (2011), beliau menyatakan kemahiran berfikir adalah apa sahaja proses kognitif yang diperincikan dalam satu set langkah-langkah yang jelas yang kemudiannya digunakan untuk memandu pemikiran. Contohnya, membuat inferens atau andaian adalah proses kognitif yang terlibat dalam kebanyakan kurikulum yang standard. Daripada definisi ini, dapat difahami bahawa kemahiran berfikir merupakan sebarang bentuk atau proses mental atau pemikiran yang berlaku dalam minda kita. Pemikiran itu boleh menjadi apa sahaja jenis atau bentuk pemikiran yang dihasilkan dalam minda kita kerana perkara utama yang dilihat ialah berlakunya proses penjanaan atau pensintesisan tentang apa sahaja menggunaka minda kita.

Kamarudin Hj. Husin (1995) melihat pemikiran sebagai penggunaan simbol, gambar, perkataan, pengamatan dan konsep. Melalui pemikiran, rangsangan luar yang diterima oleh deria akan ditafsir dengan penggunaan perkataan atau simbol untuk membentuk konsep terhadap rangsangan tersebut. Pendedahan yang berterusan dan sistematik diperlukan agar guru dapat memperluaskan pelaksanaan kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran semua mata pelajaran. Penerapan kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran amat penting selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Berdasarkan definisi-definisi yang telah diberikan ini, dapat kita fahami bahawa kemahiran berfikir ialah sebarang proses kognitif atau mental yang berlaku dalam minda dan pemikiran kita. Tuan Jah Tuan Yusof (2011) menjelaskan bahawa kepentingan-kepentingan kemahiran berfikir adalah mengelakkan kesipalan berfikir, iaitu berfikir secara terburu-buru dan berfikir secara sempit, mengelakkan kesilapan membuat keputusan, meningkatkan pemikiran kritis dan kreatif, memperkembangkan daya intelek , meningkatkan daya fikir dan kreativiti, berfikir di luar kotak pemikiran, serta merealisasikan Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.




Kemahiran  Belajar Cara Belajar
Kamarudin Hj. Husin (1995) menjelaskan bahawa belajar adalah satu proses tindakan yang dilakukan oleh seseorang untuk mendapatkan suatu perubahan tingkahlaku yang baru secara keseluruhan, sebagai hasil pengalaman individu itu sendiri dalam interaksi dengan persekitarannya. Dalam hal ini, belajar dilihat sebagai perubahan dari segi pengetahuan dan tingkahlaku secara tekal. Kemahiran belajar cara belajar diajarkan supaya murid peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Kemahiran belajar yang perlu dikuasai ialah menentukan bahan yang optimum, pemerolehan maklumat dan memproses maklumat. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan, cekap bertindak dan mengamalkan pembelajaran seumur hidup.
Kamus Dewan (1966) pula mengatakan bahawa perkataan ‘belajar’ bermaksud memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran. Belajar ialah satu proses tindakan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencapai sesuatu tingkah laku baru secara keseluruhan. Perubahan yang berlaku dalam diri yang dimaksudkan ialah perubahan yang berlaku akibat dari proses pembelajaran tadi. Selain itu, belajar juga bermaksud satu proses yang melibatkan seseorang itu memproses maklumat yang diperolehi yang membawa kepada perubahan pengetahuan, kebolehan dan kemahiran.
Antara aspek kemahiran belajar cara belajar ialah kemahiran mendengar iaitu mendengar secara aktif dan intensif, kemahiran merujuk termasuk kemahiran perpustakaan, kemahiran membaca untuk pemahaman dan membaca pantas, kemahiran mencatat dan menulis pantas, kemahiran menghasilkan laporan, kemahiran mengorganisasian termasuk membina peta konsep, struktur senarai jadual, carta alir dan hierarki, pengurusan masa dan gaya pembelajaran termasuk penetapan matlamat diri, rancangan pembelajaran, serta pengawalan tingkah laku belajar dan senarai semak..






Kemahiran  Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kamarudin Hj. Husin (1995) menyatakan teknologi maklumat dan komunikasi dikatakan sebagai alat pemudah komunikasi apabila diguna untuk membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat yang pelbagai bentuk. Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi pada hari ini membolehkan komunikasi dilakukan dalam pelbagai mod seperti teks, grafik, audio, video atau kombinasi pelbagai mod. Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini dapat digunakan sebagai alat aplikasi apabila membantu murid melaksanakan tugasan pembelajaran, bukan sebagai mekanisma penyaluran maklumat pembelajaran dan pengajaran.

Hal ini bermaksud bahawa murid perlu terlibat dalam penggunaan dan bukan sekadar mengikuti pembelajaran tersebut menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi sahaja. Dengan yang demikian, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajar kepada murid supaya mereka dapat menggunakan komputer untuk bertujuan komunikasi seperti menghantar e-mel, menggunakan aplikasi perisian dalam menyempurnakan tugasan hariandan mengakses maklumat melalui internet. Kemahiran ini akan dapat melatih murid-murid supaya cerdas dalam menggunakan teknologi komputer terkini dalam aktiviti-aktiviti pembelajaran.

Selain itu, teknologi maklumat dan komunikasi dapat mendorong murid terlibat secara lebih aktif dalam pembelajaran serta dapat memberi peluang kepada murid untuk menangani masalah sebenar di dalam kelas. Selain itu, teknologi maklumat dan komunikasi dapat memberi peluang kepada guru menerapkan teori pembelajaran moden seperti konstruktivisme, kecerdasan pelbagai dan lain-lain. Antara manfaat yang boleh diperolehi daripada penggunaan teknologi maklumat menurut Tuan Jah Tuan Yusof (2011) dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap murid adalah  mengakses maklumat yang sukar diperoleh terutama berkaitan isu semasa dan global, mengumpul maklumat yang memerlukan masa yang lama atau terlalu mahal untuk diperoleh dan banyak lagi.




Kajian  Masa Depan
Menurut Mok Soon Sang (2004), pengajaran berasaskan kajian masa depan diperkenalkan bertujuan untuk mendidik generasi baru yang bersedia menghadapi cabaran dan perubahan. Kajian masa depan akan membantu generasi ini menyedari bahawa masa depan pasti berubah dan penuh dengan cabaran dan dugaan. Mereka juga boleh merancang masa depan sesuai dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia berwawasan, rasional, kreatif, dinamik, boleh menerima serta boleh menangani perubahan. Pengajaran masa depan membolehkan murid menangani cabaran sebagai ahli masyarakat global yang berperanan aktif pada masa depan.

Kamarudin Hj. Husin (1995) menyatakan penjelasan nilai dan masa depan melibatkan murid mengkaji tanggungjawab masyarakat dan sekolah tentang hak dan keperluan generasi akan datang. Proses mengajar murid berfikir dan mengamalkan nilai-nilai murni yang boleh memandu tindakan atau pilihan masa sekarang supaya meninggalkan kesan positif pada generasi akan datang. Murid akan memilih nilai-nilai yang akan memberi keyakinan kepada mereka untuk memilih masa depan yang diingini. Teknik penjelasan nilai dan masa depan membolehkan murid berfikir tentang nilai-nilai murni yang diamalkan pada masa sekarang. Ini boleh memberi kesan positif terhadap masyarakat akan datang.

Secara totalnya, dapatlah kita simpulkan tentang kajian masa depan itu sebagai kemahiran berfikir tentang sesuatu yang akan atau mungkin berlaku pada masa depan yang akan membantu kita memandu tindakan kita pada masa sekarang untuk menghasilkan kesan yang baik pada masa depan.









Kecerdasan  Pelbagai
Dalam konteks kecerdasan pelbagai, Howard Gardner (1983) (dalam Haliza Hamzah et. al (2009) mendefinisikan kecerdasan sebagai kebolehan untuk menyelesaikan masalah atau menghasilkan produk yang bernilai dalam satu lingkungan budaya. Kecerdasan pelbagai bukan sahaja diperluas keluarga kecergasan, malah menjana definisi dan konsep kecerdasan yang releven dalam pendidikan hari ini. Dalam hal ini, dapat kita fahami konsep kecerdasan pelbagai itu sebagai kebolehan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan sebenar, kebolehan menjana masalah baru untuk diselesaikan dan kebolehan membuat sesuatu atau menawarkan perkhidmatan yang bernilai dalam lingkungan sesuatu budaya.
Di samping itu, kemahiran ini dapat menghasilkan pelajar yang seimbang, model kecerdasan pelbagai membantu murid memperoleh apa yang perlu untuk hidup di abad akan datang. Kecerdasan pelbagai diaplikasikan dalam pengajaran kerana pelajar dapat menerima persamaan dan perbezaan antara individu dengan mengakui bahawa setiap murid adalah unik dan belajar dengan cara yang berlainan. Kecerdasan pelbagai membantu guru memahami motivasi murid dan kepentingan menggunakan pelbagai cara murid dapat belajar dan menunjukkan kefahaman mereka. Murid lebih bermotivasi untuk belajar dengan cara yang lebih selesa jika cara ini digunakan.  
Selain itu, kemahiran ini dapat meningkatkan kecerdasan pelbagai seseorang dan menyedari bahawa potensinya tidak terbatas. Daripada kecerdasan pelbagai, murid dapat meningkatkan harga diri, kreativiti dan motivasi melalui pengajaran dan pmbelajaran yang menyeronokkan. Apabila guru menggunakan kemahiran ini, kecergasan pelbagai dapat meningkatkan profesionalisme guru dan menggalakkan inovasi dan penyelidikan baru dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika kemahiran ini digunakan dalam pengajaran di sekolah, suasana kolaboratif dapat diwujudkan di sekolah. Kecerdasan pelbagai dapat mewujudkan sekolah yang menerima dan menghargai perbezaan dalam kelangan murid dan juga guru. Guru dapat merancang secara kolaboratif dengan menggunakan kerangka kecergasan pelbagai untuk menyediakan kurikulum yang diperkayakan dan penuh dengan rangsangan.






Pembelajaran  Konstruktivisme

Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat.






Pembelajaran  Kontekstual.

Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam persekitaran yang pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan berfikir. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baru secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan mereka.

No comments:

Post a Comment

^_^