Thursday 8 September 2011

KEMAHIRAN MENULIS (PKB 3104 SEM 2)

KEMAHIRAN MENULIS

Selain berkomunikasi secara lisan atau pun melalui bacaan, manusia juga berkomunikasi melalui tulisan.  Malah bahasa tulisan adalah satu bentuk komunkasi yang paling tinggi dan kompleks. Menulis adalah satu kemahiran dan juga sebagai saluran untuk seseorang  melahirkan perasaan dan  idea.  Kemahiran menulis menggabungkan aspek-aspek visual, motor, dan keupayaan membentuk konsep-konsep. Menurut Hughes, Mercer, Lenz, dan Hoffman, (1991).   Tulisan juga adalah saluran utama bagi murid-murid untuk menunjukkan pengetahuan dan mereka dalam mata pelajaran akademik yang lebih tinggi

Sebelum seseorang dapat menggunakan tulisan sebagai media untuk berkomunikasi, ia perlu menguasai kemahiran menulis secara mekanis dahulu, dan selepas itu barulah ia dapat menulis untuk tujuan berkomunikasi dengan orang lain. Seseorang individu menulis untuk menyatakan idea dan  perasaannya  atau apa sahaja yang ingin disampaikannya supaya dapat dibaca dan difahami oleh orang lain.

Kebanyakan kanak-kanak bermasalah pembelajaran di kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) tidak menguasai kemahiran menulis, sama ada tulisan mekanis ataupun  tulisan mentalis.





DEFINISI

            Tulisan adalah bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi. Jika tulisan itu dibunyikan semula ia dikatakan bahasa. Tulisan adalah alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan. Ia merupakan bahasa yang tersusun yang berupa rangkai-rangkai kata dan ayat-ayat. Seseorang individu akan dapat menikmati hasil fikiran dan perasaan orang melalui butiran-butiran tulisannya. Oleh itu pelajaran menulis sangatlah penting kerana ia bertindak sebagai alat bagi menurunkan segala isi pelajaran dan mempamerkan buah fikiran seseorang itu.
            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat  (m/s 1729) , tulisan didefinisikan sebagai mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena seperti kalam, kapur, pensil dan lain-lain. Tulisan berhubung rapat dengan membaca. Kedua-duanya mementingkan teknik dan akal. Membaca tidak mungkin ada kalau tidak ada tulisan dan begitulah juga di sebaliknya. Seseorang itu menulis karangannya kerana ada yang membacanya. Danseseorang itu pula berpeluang membaca apabila ada hasil penulisan untuk dibaca.
Di sekolah-sekolah, pelajaran menulis dan membaca bukanlah sesuatu yang terpisah sifatnya  malah ia seharusnya dijalankan serentak atau dalam masa yang selari. Walaupun pada dasarnya membaca seharusnya mendahului tulisan tetapi adakalanya  kanak-kanak telahpun pandai menulis ketika masuk ke sekolah. Ini tidaklah merisaukan, kerana sewaktu mereka menulis mereka juga membaca. Bagaimanapun, harus diingat, tidak elok kanak-kanak disuruh menulis sebelum dia tahu membaca.





KEPENTINGAN

Antara kepentingan kemahiran menulis ini adalah  membolehkan kanak-kanak menulis dengan kemas, cantik dan tersusun , dapat mempelajari cara dan teknik penulisan yang betul,  dapat memahami apa yang ditulis oleh mereka serta  dapat membaca apa   yang ditulis.
Selain  itu, kemahiran menulis ini juga penting untuk mendirikan asas yang kukuh supaya seseorang kanak-kanak itu dapat melahirkan idea, fikiran serta perasaan dengan baik, pantas dan cekap, menyusun huruf-huruf menjadi sukukata, perkataan dan ayat sebagai alat komunikasi dalam kelompok masyarakat dan berkemahiran dalam satu lagi komponen bahasa dan meluaskan pengetahuan, perhubungan serta matlamat hidup.
Tambahan pula, ianya penting untuk  menyediakan, menyemai, mengasah serta mengukuhkan minat serta bakat kanak-kanak sebagai memenuhi kehendak masyarakat moden (kerana membaca, menulis dan mengira adalah sebahagian daripada asas utama keperluan hidup masa kini).
Untuk menghasilkan bentuk-bentuk penulisan kreatif seperti pantun, syair, sajak
lain-lain bentuk puisi dan prosa yang dapat memberikan kepuasan jiwa dalam pemikiran, perasaan bukan sahaja diri kanak-kanak itu sendiri, bahkan juga seluruh insan umumnya.





KELEMAHAN

Tanda-tanda kelemahan dalam tulisan ialah tulisan terlalu buruk sehingga tidak boleh dibaca, tulisan yang sukar dibaca, tulisan yang tiada ketetapan bentuk dan condong huruf, tulisan yang menaik atau menurun dan tidak selari dengan garisan, tulisan yang mengandungi huruf-huruf terbalik, tulisan yang dihasilkan dengan urutan arah yang salah, tulisan tanpa ketentuan dan ketetapan jarak antara huruf/perkataan serta tulisan yang tidak seragam saiz.

Sebelum melaksanakan program pemulihan, penilaian perlulah dijalankan terlebih dahulu sebagai langkah pertama bagi mengesan kelemahan-kelemahan atau masalah yang dihadapi oleh murid tersebut. Hasil daripada penganalisaan terhadap penilaian tersebut, guru akan dapat mengetahui punca-punca timbulnya masalah tersebut. Berdasarkan kepada hipotesis yang dibuat, guru dapat merancang dan mengatur objektif-objektif berkaitan bagi mengatasi kelemahan yang dihadapi oleh murid tersebut. 

Kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan oleh murid dalam tulisan adalah mungkin boleh diatasi dengan menggunakan kaedah atau teknik seperti memberikan latihan dan pengukuhan secukupnya pada peringkat pratulisan dan peringkat mendirikan asas. Memberikan penerangan, tunjuk cara serta contoh-contoh berkaitan dengan jelas dan betul, sesuai dengan tahap keupayaan murid serta keperluan individu juga boleh dilaksanakan. Guru juga perlu menjadi model atau contoh yang menjadi ikutan murid. Dengan itu, tulisan dan cara-cara guru menuliskan contoh-contoh yang akan disalin oleh murid hendaklah dibuat dengan teliti dan betul. Selain itu, kad-kad tulisan, lembaran-lembaran kerja atau bahan bantu mengajar yang bertulis perlulah disediakan dengan sempurna. Dengan membanyakkan latihan dan memberikan bantuan individu juga akan membantu kepada kemahiran menulis ini.

Selain itu, guru juga boleh memberi galakan dan semangat kepada murid dengan memberi peneguhan positif seperti mengadakan pertandingan tulisan tercantik, mempamerkan tulisan atau kerja-kerja murid yang difikirkan baik di papan kenyataan kelas dan memberi pujian dan teguran membina kepada mereka. 

















INTERVENSI

            Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar permulaan  kemahiran tulisan mekanis dan juga untuk pengajaran pemulihan masalah tulisan.  Kaminsky dan Powers (1981) mencadangkan  bahawa suatu program pengajaran kemahiran tulisan mekanis hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut:  
i.              mengawal ruang tulisan iaitu  bergerak dari ruang yang luas kepada ruang yang lebih kecil
ii.            kelompokkan huruf yang memerlukan pergerakan yang sama;
iii.           menunjukkan contoh bentuk huruf yang betul dan galakkan pelajar menyurih (tracing) model huruf;
iv.           sediakan banyak sesi latihan menulis;
v.            melibatkan pelajar dalam penilaian kendiri iaitu menggalakkan mereka mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka; dan
vi.           menerima bahawa tulisan bagi sesetengah pelajar adalah satu proses yang sukar  dan memerlukan galakan dan sokongan.

Pengajaran pemulihan menulis untuk kanak-kanak hendaklah dilakukan secara terkawal, iaitu garisan demi garisan mengikut urutan (stroke-by-stroke sequence) dengan bantuan guru.  Cara ini akan dapat menghalang pelajar daripada melakukan kesalahan seperti menulis terbalik, tulisan cermin, atau cara menulis huruf yang salah.
Guru boleh menggunakan berbagai-bagai cara untuk membantu  pelajarnya mengatasi masalah menulis.  Sebagai contoh guru boleh mengajar pelajarnya menulis huruf mengikut bentuknya secara terkawal seperti  ”7 C sekeluarga” di bawah (Cherry , 1984).


Mengajar pemulihan tulisan bukanlah perkara mudah kerana pelajar yang mengalami masalah tulisan adalah disebabkan oleh  masalah-masalah lain seperti ingatan jangka pendek, pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, koordinasi mata-tangan, dan lemah otot-otot tangan.  Oleh itu aktiviti pengajaran hendaklah mengambil kira masalah-masalah yang dihadapi pelajar dan dilakukan peringkat demi peringkat.

Cadangan  pengajaran di bawah boleh dilaksanakan untuk pengajaran pemulihan tulisan pelajar.
i.              Latihan memegang pensel dengan betul.
ii.            Latihan membuat pergerakan tangan dan jari semasa menulis.
iii.           Membuat garis-garis lakaran.
iv.           Membetulkan cara duduk  pelajar semasa menulis.
v.            Memperkenalkan tulisan satu-satu (tulisan cap) dan dimulai dengan 
           huruf kecil dahulu, manakala huruf besar diajar secara tidak langsung.
vi.           Kenal pasti  kelemahan pelajar dan berikan latihan koordinasi mata-tangan seperti menekap, menyalin, melengkapkan, pertalian jarak, menyambung titik, memadankan, mencari jalan keluar, dan sebagainya.







Cadangan aktiviti pengajaran pemulihan yang dinyatakan di atas boleh ditambah lagi mengikut kreativiti guru. Namun begitu, semasa menjalankan aktiviti pemulihan guru perlu memberi perhatian terhadap beberapa perkara penting supaya pengajarannya akan lebih berkesan lagi. Antaranya adalah:
i.              guru perlu mengkaji kesediaan menulis pelajarnya terleblih dahulu;
ii.            latihan aktiviti menulis hendaklah diperbanyakkan;
iii.           suasana bilik hendaklah selesa termasuk kedudukan kerusi meja yang sesuai dengan pelajar;
iv.           bahan untuk menulis seperti kertas, pensel,  hendaklah sesuai ;
v.            langkah dan urutan membentuk sesuatu huruf hendaklah ditunjukkan  kepada pelajar;
vi.           pelajar jangan digalakkan menggunakan getah pemadam;
vii.          buku latihan khas hendaklah disediakan untuk pelajar membuat latihan menulis di rumah.

Setelah pelajar sudah boleh menulis, guru sudah boleh memperkenalkan tulisan sambung kepada pelajarnya.  Tulisan sambung boleh membantu pelajar  daripada melakukan kesalahan menulis kerana tulisan sambung mempunyai urutan garisannya yang tersendiri ketika menulis.

No comments:

Post a Comment

^_^