Thursday 8 September 2011

KEMAHIRAN MEMBACA(PKB 3104 SEM 2)

KEMAHIRAN MEMBACA

PENGENALAN

            Selain daripada kemahiran lisan, kemahiran membaca adalah kemahiran bahasa yang penting dikuasai oleh seseorang individu. Kita mungkin tidak dapat bersama-sama dengan orang lain sepanjang masa, oleh itu melalui bacaan kita dapat memahami mesej yang disampaikan oleh orang lain melalui tulisan. Pengertian bacaan adalah luas iaitu tidak hanya terhad kepada maksud membunyikan tulisan atau “barking at words” semata-mata. Membaca secara senyap dengan memberi penekanan kepada memahami apa yang dibaca adalah sangat penting.

Bagi seseorang pelajar, membaca merupakan kunci kejayaan akademiknya, sumber kepada penambahan ilmu pengetahuan, dan kunci kepada keupayaan menikmati hasil penulisan untuk mengisi masa lapangnya. Pengajaran kemahiran membaca kepada kanak-kanak memerlukan kaedah dan teknik tertentu supaya mereka dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik sama ada membaca secara nyaring atau membaca secara senyap. Bagi kanak-kanak masalah pembelajaran pula, mereka memerlukan kaedah dan teknik mengajar yang lebih khusus sesuai keupayaan dan kebolehan mereka.

Membaca adalah salah satu masalah utama yang dihadapi oleh kanak-kanak masalah pembelajaran. Bacaan juga merupakan sebagai punca utama kegagalan kanak-kanak di sekolah. Malah dikatakan juga bahawa kegagalan membaca akan membawa kepada perlakuan salah laku, cemas, kurang motivasi, dan perasaan rendah diri (Mercer, 1992).

DEFINISI
Membaca adalah kemahiran yang kompleks dan banyak definisi diberikan untuk menjelaskan maksud bacaan. Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses asas, iaitu ”nyah kod” (decode) dan pemahaman. Proses nyah kod melibatkan pemahaman tentang hubungan antara huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada bentuk yang sama dengan bahasa lisan. Oleh itu, kemahiran nyah kod membolehkan seseorang menyebut perkataan yang ditulis dengan betul. Manakala proses pemahaman pula membolehkan seseorang memahami makna sesuatu perkataan atau makna perkataan mengikut konteks.

            Harris dan Sipay (1980) menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau bertulis. Manakala Kenedy (1981) pula mendefinisikan bacaan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan), menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsirkan maksudnya (Marohaini Yusoff, 1999). Kedua-dua definisi yang diberikan ini sudah cukup untuk menjelaskan bahawa kemahiran membaca adalah satu proses yang kompleks.

            Membaca ialah suatu proses komunikasi di antara dua pihak iaitu pembaca dengan penulis. Ianya adalah suatu proses memerhati isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. -Kamus Dewan Edisi Baharu, (1991).

Membaca hanyalah keupayaan kognitif seseorang untuk mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya mentafsirkan maksudnya. (Haris dan Sipay 2000)

Bagi Smith dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis denga tanggapan yang dibuat oleh pembaca. Goodman (1973) pula menyatakan membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan.

   Menurut Charles Frie (1963), membaca adalah satu aktiviti pentafsiran menterjemahkan lambang-lambang bercetak kepada bunyi-bunyi yang dimaksudkan. Frank Smith (1971) pula mengatakan bahawa membaca adalah satu operasi psycholinousitic . Bacaan juga merupakan satu langkah lanjutan dalam perkembangan pembelajaran bahasa dan memproses perkembangan-perkembangan yang diterima.

            Manakala menurut Atan Long (1976) membaca adalah proses kembalikan daripada proses menulis kepada proses mentafsirkan kembali lambang-lambang bertulis dan mendapatkan makna atau buah fikiran daripada bahan bertulis itu.
Abu Basar (1981) mendefinisikan membaca adalah gabungan proses menyuarakan lambang-lambang tulisan, mengamati serta memahamkan kandungannya.

            Membaca adalah salah satu masalah utama yang dihadapi oleh kanak-kanak masalah pembelajaran. Bacaan juga merupakan sebagai punca utama kegagalan kanak-kanak di sekolah. Malah dikatakan juga bahawa kegagalan membaca akan membawa kepada perlakuan salah laku, cemas, kurang motivasi, dan perasaan rendah diri (Mercer, 1992).

Kesimpulannya, membaca adalah proses memindahkan lambang-lambang bertulis kepada suara, memahami makna-makna yang terkandung di dalamnya serta mengaitkan makna-makna tersebut dengan pengalaman sedia ada murid.
KEPENTINGAN
Mempelajari kemahiran asas adalah amat penting bagi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Hal ini kerana ia akan membantu murid untuk mempelajari setiap matapelajaran dengan lebih mudah dan cepat jika mereka mahir dalam menguasai kemahiran asas. Terdapat beberapa komponen dalam kemahiran asas. Antaranya ialah kemahiran 3M dan kemahiran pengurusan diri.    Kemahiran 3M ialah membaca, menulis dan mengira. Terdapat beberapa kepentingan mempelajari kemahiran ini.
Pertama, kemahiran ini adalah asas utama dalam setiap pembelajaran. Setiap murid seharusnya mempunyai kemahiran untuk membaca, menulis dan mengira supaya mereka dapat menjalankan segala proses P&P dengan berkesan. Menguasai kemahiran membaca membolehkan mereka membaca maklumat dan latihan yang diberikan oleh guru. Mereka juga dapat mencari bahan-bahan pembelajaran dan melakukan ulangkaji pelajaran dengan mudah. Selain itu, penguasaan dalam kemahiran menulis pula membolehkan murid untuk menulis nota pelajaran dan melakukan latihan yang diberikan oleh guru. Seterusnya, kemahiran mengira bukan sahaja penting bagi matapelajaran yang melibatkan kira-kira tetapi ia juga penting dalam kehidupan seharian mereka.
            Kurang kemahiran membaca bukan sahaja akan menyebabkan proses pembelajaran anda menjadi sukar, malah minat anda untuk membaca juga boleh terturun atau menurun. Namun, sekiranya anda mahir dan cekap membaca, proses pembelajaran anda bukan sahaja akan menjadi lebih lancar, malah, anda akan lebih pantas pula faham serta mengingati fakta-fakta penting dari bahan yang anda baca itu. Ini secara tidak langsung pula akan meningkatkan lagi minat anda untuk membaca dan membaca. Anda juga akan dapat menjimatkan masa anda serta membuat lebih banyak aktiviti pembelajaran. 


KELEMAHAN
            Masalah bacaan yang dihadapi oleh murid-murid dapat dilihat melalui aktiviti bacaan nyaring, manakala aktiviti bacaan senyap hanya dapat dilihat melalui aspek bacaan kefahaman. Terdapat banyak masalah bacaan yang dihadapi oleh seseorang murid.
            Antaranya ialah seperti membuang atau meninggalkan. Ia bermaksud bunyi huruf, perkataan, dan imbuhan ditinggalkan ketika membaca, misalnya ”buah” disebut ’uah”, ”kering” disebut ”kerin”. Perkataan dalam ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca, seperti;”Buku itu sangat tebal. ” dibaca sebagai ”Buku itu tebal”. Manakala meninggalkan imbuhan adalah seperti ”mengandungi” disebut ”mengandung” dan sebagainya.
             Kedua ialah ulangan (repetition). Murid-murid kadangkala akan mengulang-ulang perkataan atau suku kata semasa membaca dan perbuatan mengulang ini bukan disebabkan oleh masalah gagap.           
            Ketiga ialah gantian (substitute). Bagi masalah ini, murid-murid kebiasaannya akan menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat yang dibaca, misalnya ”ladang” disebut ”lalang”. Manakala terdapat perkataan yang digantikan dengan perkataan lain sehingga boleh mengubah maksud ayat.
            Keempat ialah tambahan (insertion). Masalah ini berhubung kait dengan bunyi huruf atau perkataan. Bunyi tersebut ditambah semasa membaca, misalnya “buah” disebut “buwah”. Manakala penambahan perkataan berlaku dalam satu-satu perkataan seperti ”Saya suka makan rojak.” dibaca sebagai ” Saya sangat suka makan rojak.”

            Kelima ialah pembalikan (reversals). Pembalikan ini akan berlaku ketika huruf, perkataan, atau frasa dibaca secara terbalik atau songsang. Sebagai contoh, ”Bala” disebut ”laba”, manakala pembalikan perkataan dalam ayat berlaku apabila perkataan diubah kedudukannya, contoh: ”Dia makan nasi” dibaca sebagai ” Dia nasi makan”, dan begitu juga dengan pembalikan frasa.
            Keenam ialah tidak kenal huruf. Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama kebanyakan murid gagal membaca dengan baik. Keadaan ini menyebabkan seseorang murid itu akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan makna.

            Ketujuh ialah salah sebutan. Salah sebutan terjadi akibat murid tidak mengenal huruf atau tidak tahu membunyikan sesuatu huruf sehingga sesuatu perkataan tidak bermakna lagi dalam konteks ayat berkenaan.

            Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau ayat yang dibaca dan perlu diberi perhatian oleh guru untuk mengatasinya. Selain itu, guru juga perlu memerhati tingkah laku yang ditunjukkan semasa murid membaca yang boleh menunjukkan murid itu bermasalah dalam bacaan.
            Selain itu, terdapat banyak tingkah laku yang kerap ditunjukkan oleh murid-murid terutamanya yang bermasalah pembelajaran. Antaranya ialah membatang suku kata terlebih dahulu sebelum dapat menyebut seluruh perkataan, bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan dan tidak lancar, dan teragak-agak (hesitation) - teragak-agak bermaksud berhenti sejenak sebelum menyebut sesuatu perkataan ketika membaca disebabkan kanak-kanak tidak pasti akan bacaannya,

            Murid-murid juga kadangkala  membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan tanda bacaan, membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak,
menunjuk perkataan dengan jari ketika membaca, tingkah laku yang tidak selesa seperti mengejip-ngejip mata, mengerut dahi, menggeleng kepada, dan sebagainya.
             
            Di samping itu, suara sesetengah murid terlalu perlahan dan tidak jelas atau ”blurring”, kedudukan mata terlalu dekat dengan bahan bacaan, cuba mengelak daripada aktiviti membaca, dan tidak boleh membaca langsung.
Guru mestilah peka dengan petunjuk-petunjuk tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid-muridnya kerana tingkah laku tersebut menunjukkan murid berkenaan menghadapi masalah dalam bacaan.

            Selain masalah bacaan nyaring, murid juga menghadapi masalah memahami apa yang dibaca. Masalah tidak memahami isi bahan bacaan tentu akan mengganggu proses pembelajaran murid berkenaan. Guru dapat mengesan masalah memaham di kalangan muridnya berdasarkan pemerhatian dan juga melalui aktiviti-aktiviti soal jawab, kuiz, menceritakan semula, merumus petikan, dan sebagainya.

            Antara masalah dalam kefahaman bacaan adalah gagal memahami maksud perkataan dan frasa yang berkaitan dengan waktu seperti selepas, sudah, sebelum, pagi, sekejap, dan sebagainya, serta tidak memahami maksud perkataan dalam pelbagai situasi, misalnya dalam ayat “Panjatlah lagi pokok itu.” yang bermaksud melarang seseorang daripada memanjat pokok,

            Selain itu, murid gagal memahami atau membuat urutan idea atau peristiwa yang terdapat dalam bahan bacaan terutamanya apabila diminta menceritakan semula petikan yang dibaca dan juga lambat memberi tindak balas terutamanya apabila tidak memahami arahan yang dibaca,           
            Seterusnya, murid mengalami masalah dalam menghubungkan sebab dan akibat dalam bahan bacaan yang dibaca, tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak munasabah (absurdities) dalam bahan yang dibaca, dan tidak dapat mentafsir atau menggunakan carta, graf, peta, rajah, dan sebagainya dalam buku.

            Masalah pemahaman bacaan akan menjejas pencapaian dalam pelajaran secara keseluruhannya sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah.
Masalah pemahaman kanak-kanak boleh diatasi melalui beberapa aktiviti pengajaran yang boleh merangsang pemahaman mereka terhadap bahan yang dibaca. Antaranya adalah seperti melatih mereka membuat pemetaan semantik atau peta konsep, carta alir terutamanya untuk melatih membuat urutan peristiwa, membuat carta organisasi, menggunakan kamus untuk mendapatkan makna perkataan, dan yang paling penting adalah melalui teknik penyoalan seperti teknik soalan 5WH (what, who, , where, when,why, dan how).











INTERVENSI
            Setiap pihak haruslah bertanggungjawab untuk mengesan kelemahan bacaan seseorang yang mempunyai masalah kemahiran membaca seperti ibu bapa, guru-guru, pihak berwajib dan juga persekitaran yang positif agar dapat membantu mereka membina kemahiran membaca seawal mungkin supaya masalah ini dapat dipulihkan sebelum menjadi lebih teruk.
            Terdapat berbagai-bagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan yang telah kita pelajari dan kita gunakan untuk membantu murid yang tidak dapat membaca dengan baik. Sebenarnya semua kaedah dan teknik itu boleh digunakan dengan berkesan Semuanya bergantung kepada cara kita merancang strategi pengajaran dan melaksanakannya ke atas murid berkenaan. Perkara terpenting adalah murid-murid ini perlu diajar menguasai kemahiran-kemahiran asas bacaan terlebih dahulu supaya pemerolehan kemahiran membaca mereka menjadi mantap. Kemahiran-kemahiran yang dikuasai ini kelak akan membantu mereka menguasai kemahiran bacaan yang seterusnya.

            Pengajaran membaca kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan strategi yang pelbagai. Guru tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah dan teknik tertentu sahaja kerana kerana penerimaan seseorang kanak-kanak terhadap perkara yang diajar adalah berbeza antara satu sama lain. Terdapat beberapa kaedah mengajar bacaan dalam Bahasa Melayu yang sesuai dengan binaan perkataan Bahasa Melayu yang terbentuk melalui gabungan suku kata.
            Yang pertama ialah kaedah abjad/huruf. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a – z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.

Contoh:
Memperkenalkan huruf - a – z
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu
Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu

Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.

            Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.

            Yang kedua ialah kaedah pandang dan sebut atau kaedah seluruh perkataan. Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya. 

            Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali. Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ].

            Yang ketiga ialah kaedah fonik atau dikenali sebagai bunyi. Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.

            Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].

[ b ] + [ a ] = [ ba ]
[ t ] + [ a ] = [ ta ]
[ ba ] + [ta ] = [ bata ]
            Yang keempat ialah kaedah gabungan bunyi – kata iaitu dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan. Dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory). Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.

Terdapat segelintir kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang serius dan memerlukan kaedah bacaan khas untuk mengajar mereka seperti kanak-kanak Disleksia, kanak-kanak pemulihan, dan kanak-kanak berkeperluan khas (PKBP). Antara kaedah bacaan yang akan dibincangkan dalam bahagian ini adalah seperti kaedah VAK, kaedah Fernald, dan kaedah Gillingham, dan semua kaedah ini digolongkan sebagai pendekatan kinestetik.(Margaret, Lynne, Janet, 1989).

            Pertama ialah kaedah VAK. Kaedah ini menggabungkan deria penglihatan dan pendengaran dengan tulisan (kinestetik atau pergerakan). Dalam kaedah ini murid melihat dan menyebut perkataan sambil menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya.  Kaedah VAK menggunakan prosedur pengajaran seperti berikut, iaitu pelajar akan memerhati perkataan yang hendak dipelajari. Kemudian mereka akan menyebut perkataan itu. Seterusnya, mereka akan mencuba menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya, dan yang terakhir ialah membandingkan hasil tulisan dengan perkataan asal. Prosedur VAK ini diulang-ulang sehingga perkatan dapat ditulis dengan betul.
            Kedua ialah kaedah Fernald. Kaedah ini diperkenalkan adalah untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk. Kaedah ini merupakan gabungan pendekatan pengalaman bahasa dan pembelajaran berasaskan pendekatan pelbagai deria (VAKT). Pendekatan ini dibentuk untuk pengajaran secara individu. Terdapat empat peringkat pengajaran dalam kaedah Fernald, iaitu menyurih (tracing) dan menulis berdasarkan ingatan satu perkataan yang diberi. Kemudian, murid-murid dikehendaki menulis berdasarkan ingatan perkataan yang diberi. Selepas itu, mereka akan menulis berdasarkan ingatan perkataan yang dijumpai dalam petikan, dan yang terakhir ialah mereka akan belajar melalui perkataan asas (sight words) yang terdapat dalam teks.

           
Ketiga ialah kaedah Gillingham. Kaedah ini diperkenalkan adalah untuk mengajar bacaan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah bacaan yang sangat teruk. Kaedah ini mengambil masa yang lama dan langkah-langkah pengajaran hendaklah dipatuhi dengan ketat, iaitu memerlukan lima sesi pengajaran seminggu untuk selama dua tahun (minimum). Kaedah ini juga menumpukan penstrukturan pengajaran yang tinggi dan berorientasikan pendekatan fonetik yang menggunakan teknik surihan (tracing) untuk mengajar huruf tunggal dan bunyi yang bersamaan dengannnya.
Selain kaedah bacaan yang dinyatakan, terdapat pelbagai pihak yang betanggungjawab dalam membantu masalah murid yang mempunyai masalah dalam kemahiran membaca. Antaranya ialah ibu bapa. Ibu-bapa berperanan bagi membantu anak-anak mereka menguasai kemahiran 3M terutamanya kemahiran membaca. Semaikan sikap cinta membaca secara sedikit demi sedikit tetapi berterusan. Dari seusia bayi lagi ibu bapa boleh galakkan sikap cintakan buku kerana kini terdapat banyak buku untuk bayi di mana helaian muka suratnya di buat daripada plastik atau kertas tebal. Setiap hari cari masa untuk meletakkan bayi di atas riba dan melihat gambar-gambar di dalam buku bersama-sama.
Untuk anak yang sudah mula untuk membaca, pastikan apa yang diminatinya. Sebagaio contoh, sekiranya anak minat kereta, ibu bapa digalakkan untuk membeli buku cerita mengenainya atau jika anak minat puteri, ibu bapa boleh membelikan anak mereka buku berkaitan dengan puteri. Ini langkah pertama untuk memancing minat anak. Keadaan ini sama seperti kalau kita tidak suka cerita seram, tentu kita tidak akan mengambil untuk membacanya. Yang pasti apabila anak memasuki tadika atau Tahun 1 jangan terlalu kerap untuk membeli buku untuk ‘belajar’ saja sebaliknya, belilah buku yang menyeronokkan mereka.



Apabila anak sudah suka pada buku, ibu bapa boleh mengembangkan minat mereka. Cara yang terbaik ialah dengan membawa anak-anak ke kedai buku dan seterusnya membiarkan mereka melihat pelbagai pilihan yang ada. Beri mereka sedikit masa untuk memilih buku dan secara lembut ibu bapa juga boleh menunjukkan kepada mereka buku yang bagus untuk dibaca.
            Seterusnya ialah pihak berwajib haruslah melaksanakan satu program bagi meningkatkan kemahiran membaca murid-murid. Terdapat beberapa program yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan. Antaranya ialah Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) merupakan satu program yang dirancang khusus untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Pada masa yang sama program ini adalah bertujuan yang satu iaitu untuk membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu.
Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam kelas. Fokus KIA2M adalah untuk membolehkan murid menguasai kemahiran asas Bahasa Melayu secara intensif. KIA2M ini akan dijalankan spenuh masa oleh guru Bahasa Melayu tahun satu.
Oleh itu konsep pengajaran Bahasa Melayu merentas kurikulum mestilah dijalankan sepenuhnya dengan menggunakan strategi penggabungjalinan.  Subjek-subjek Pendidikan Jasmani Kesihatan, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran dalam Bahasa Melayu.
Secara keseluruhannya program ini dijalankan selama 3 atau 6 bulan. Masa yang dijalankan merupakan pilihan yang dibuat oleh sekolah. Selain itu juga semua murid tahun satu akan mengikuti ujian penapisan. Ujian ini merupakan ujian yang terpenting bagi mengetahui murid-murid yang tidak menguasai kemahiran asas iaitu kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Murid yang lulus akan meneruskan kelas biasa manakala murid yang gagal, mereka akan ditempatkan dalam program ini.
Oleh itu strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan perlulah sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini menguasai kemahiran asas ini dengan seberapa segera yang boleh.
Antara intervensi lain bagi kemahiran membaca ialah dengan menggunakan teknik membaca PQRST.  Sistem PQRST adalah suatu teknik membaca yang diperkenalkan oleh Thomas, Ellen Lamar; Robinson dan H. Alan dalam buku mereka yang bertajuk "Improving Reading In Every Class". Berikut adalah 5 langkah yang menjadi tunjang Teknik Membaca PQRST ini.

            Yang pertama ialah Preview(tinjau). Tinjau tajuk-tajuk utama pada keseluruhan buku atau bab tertentu dengan memberi perhatian kepada tajuk-tajuk besar dan kecil padanya. Tujuan utama proses meninjau ini adalah untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang isi-isi penting pada buku atau bab-bab dalam buku itu. Dengan mendapat gambaran segera tentang kandungan buku itu, fikiran akan lebih tertumpu kepada isu-isu utama yang dibincang atau diutarakan pada buku tersebut. 

Kedua ialah Question(soal). Soal diri anda dengan menjadikan tajuk besar dan kecil dalam bab itu sebagai soalannya. Misalnya, tajuk bagi seksyen ini ialah Meningkatkan Mutu Pembacaan. Jadi, bentuk soalan yang boleh dibuat ialah “Bagaimana saya dapat meningkatkan mutu pembacaan saya?” Dengan adanya soalan itu semasa membaca, tumpuan fikiran akan lebih fokus kepada mencari jawapan atau jawapan-jawapan tentang soalan yang tertumpu pada fikiran ketika membaca. 


Ketiga ialah Read (baca). Baca satu seksyen ke satu seksyen untuk mencari jawapan soalan yang telah dibentuk. Sambil membaca bahan bacaan, tumpukan perhatian untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang telah ditimbulkan itu. Ini merupakan suatu pembacaan yang aktif. Oleh itu, carilah tempat yang boleh membuatkan seseorang itu memberikan sepenuh tumpuan kepada pembacaannya. Dengan berbuat demikian, akan dapat meningkatkan keberkesanan dan impak proses pemahaman serta dapat meningkatkan tahap ingatan terhadap idea-idea utama bahan yang dibaca.

Keempat ialah Self-Recitation(menyebut kendiri). Ia ialah suatu proses di mana seseorang cuba untuk mengingat fakta-fakta utama bab atau bahan yang telah dibaca. Adalah lebih berkesan sekiranya kita menyebutkan fakta-fakta kepada diri kita secara lisan. Tujuan utamanya ialah untuk mengingat semula apa yang telah dibaca iaitu dengan menggabungkan semua proses (b), (c), dan (d) secara serentak.

Yang terakhir ialah Test(uji). Uji diri setiap kali tamat membaca keseluruhan bab. Fikirkan berapa banyakkah idea-idea daripada bab yang baru dibaca itu dapat diingati. Pada peringkat inilah kita harus mula menyimpan apa yang telah  dipelajari ke dalam ingatan jangka panjang.
Dengan menggunakan Teknik Membaca PQRST, masalah terlalu banyak untuk dibaca akan dapat anda atasi. Teknik Membaca PQRST ini memudah dan mempercepatkan proses pembacaan serta tahap kognitif seseorang.
            Pembacaan mekanis adalah proses yang dapat membantu peningkatan kemahiran membaca murid-murid di samping dapat melonjakkan tahap pencapaian akademik murid-murid. Aktiviti membaca secara nyaring kepada murid secara terkawal akan meningkatkan minat murid dalam kadar masa yang segera terutamanya dalam bidang sastera. Guru haruslah prihatin terhadap pembacaan murid dengan cara memerhati wajah mereka sambil mengawal keadaan. Guru haruslah pandai memilih bahan bacaan yang menarik supaya dapat menghadapi masalah untuk mengawal disiplin murid. Membaca kepada murid dengan nyaring merupakan aktiviti yang penting bagi semua peringkat murid bermula dari peringkat pra-sekolah hinggalah ke peringkat universiti. Aktiviti membaca secara nyaring dapat meningkatkan suasana yang menarik di dalam bilik darjah bagi tujuan pembelajaran murid di sekolah.
            Selain itu, bagi menambahkan minat murid untuk membaca, guru perlulah menyediakan persekitaran yang selesa dan dapat menggalakkan pembelajaran murid. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan sudut bacaan di dalam kelas dengan pelbagai jenis buku yang menarik. Lebih banyak buku yang disediakan, lebih banyak peluang kepada murid dalam membuat pilihan mengikut minat dan kegemaran mereka. Kajian yang pernah dibuat oleh pihak University Of Southern California menunjukkan murid yang kurang bahan bacaan di dalam kelas mereka memperolehi skor yang rendah jika dibandingkan dengan murid yang memiliki bahan bacaan yang agak banyak di sudut kelas mereka.
            Langkah seterusnya, guru melakukan bacaan nyaring untuk pemahaman. Ketika membuat bacaan nyaring, kemudian berhenti di tempat-tempat tertentu untuk berbincang mengenai sesuatu yang terdapat dalam bahan bacaan itu sebenanya secara tidak langsung mengajar murid-murid cara-cara membaca dengan betul dan cara-cara untuk memahami maklumat yang terdapat dalambahan bacaan itu. Contohnya, guru ingin membincangkan sesuatu mengenai gambar hiasan yang terdapat pada muka surat tertentu atau ingin menjelaskan makna perkataan tertentu, bertanya tentang sesuatu kepada murid, berbincang tentang sesuatu peryataan dan sebagainya. Selain daripada itu, terdapat tiga contoh strategi yang dapat dilaksanakan dalam pengajaran pemahaman membaca.
            Pertama iaitu berfikir tentang cerita yang dibaca. Guru berhenti membaca lalu meminta murid berfikir tentang sesuatu yang berkaitan dengan cerita tersebut seperti kemungkinan kesudahan cerita tersebut. Kedua ialah dengan membuat peta minda. Sambil membaca guru dan murid membuat peta minda seperti perwatakan watak-watak penting yang terdapat dalam bahan bacaan yang dibaca. Sumber maklumat ditambah satu demi satu sepanjang bacaan yang dibuat. Ketiga ialah dengan membuat nota ringkas. Nota rigkas ini digunakan untuk membuat ulangkaji sebelum membuat bacaan pada bab seterusnya. Antara aspek yang dapat dicatatkan termasukah unsur konfik atau masalah yang terdapat dalam cerita atau bacaan tersebut, maklumat mengenai watak-watak, peristiwa penting, nilai, pengajaran, tema, persoalan, gaya bahasa dan sebagainya.
            Langkah seterusnya ialah dengan penglibatan pihak luar. Iaitu dengan mengundang pihak luar seperti ibu bapa, pegawai pasukan beruniform dan sebagainya untuk membaca apa-apa bahan bacaan kepada murid-murid. Minat murid-murid akan bertambah kerana mereka suka melihat ‘muka baru’ di dalam kelas mereka sekali sekala.
            Selain itu, dorongan daripada keluarga juga penting. Ini dimana keluarga adalah agen dan ‘role model’ yang besar dalam mempengaruhi dan sahsiah murid. Ibu bapa yang mengamalkan budaya membaca secara tidak langsung akan menarik minat anak-anak untuk mengikuti apa yang ibu bapa mereka lakukan. Untuk menarik minat anak-anak, ibu bapa haruslah membaca bahan bacaan bersama-sama dengan anak-anak mereka sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
           
            Seterusnya itu, ibu bapa haruslah membantu anak-anak mereka yang sudah mula memiliki kemahiran membaca contohnya dengan meminta mereka mencari perkataan atau huruf-huruf tertentu dan berbual dengan anak-anak mereka mengenai cerita yang dibacanya itu. Selain itu, ibu bapamembantu anak mereka membaca sendiri. Ini kerana membaca di rumah akan meningkatkan prestasi anak-anak mereka di sekolah. Ibu bapa perlu menyediakan buku-buku yang secukupnya di rumah mengikut kesesuaian umur anak-anak mereka dan luangkan masa bersama anak-anak mereka untuk pergi ke perpustakaan awam. Ibu bapa juga perlu menyemaikan kesedaran tabiat membaca kepada anak-anak. Ini dapat dilakukan dengan cara menggalakkan mereka mengisi masa lapang dengan membaca surat khabar, majalah dan buku. Selain daripada itu, ibu bapa haruslah menghadkan masa menonton televisyen supaya masa mereka tidak terbuang dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Ibu bapa juga perlu mewujudkan ruang membaca dengan meletakkan buku-buku yang menaik minat anak-anak meeka di ruang membaca.
            Langkah seterusnya ialah melibatkan pihak pengurusan sekolah. Pertama ialah menulis dan membaca merentas kurikulum iaitu dengan menggalakkan guru-guru supaya bekerjasama untuk mengajar kemahiran menulis dan membaca bagi semua matapelajaran di sekolah. Kedua ialah program literasi keluarga yang melibatkan ibu bapa dan murid-murid peringkat awal kanak-kanak terutamanya kepada pelajar yang memerlukan perhatian yang lebih. Ketiga ialah implimentasikan kerja rumah yang sistematik iaitu dengan membantu ibu bapa memantau dan membantu anak-anak dalam membuat kerja rumah. Pihak sekolah perlu memastikan guru-guru sentiasa memberikan kerja rumah yang mencabar dan berkualiti. Keempat ialah dengan menerbitkan buletin sekolah dalam pelbagai bahasa dengan menggunakan kelebihan sekolah yang memiliki guru daripada pelbagai kaum.
            Selain itu, penglibatan guru-guru sekolah juga amat penting. Pertama guru perlu menaruh harapan yang tinggi terhadap anak-anak murid dan turut menggalakkan ibu bapa supaya mempunyai harapan yang tinggi juga terhadap anak-anak mereka. Dengan itu, murid-murid akan berusaha untuk memenuhi atau mencapai harapan itu. Kedua, guru mengajar kemahiran menulis dan membaca kepada murid-murid di samping subjek akademik biasa. Ketiga, guru perlu menggalakkan murid-murid untuk membaca bahan bacaan selepas waktu persekolahan iaitu dengan mengiringi murid-murid ke perpustakaan dari semasa ke semasa untuk membuat pelbagai aktiviti rujukan dan bacaan.
            Seterusnya dengan penglibatan perpustakaan. Pertama, membantu pihak sekolah mempromosi kempen membaca serta menjadi penyelaras dalam apa-apa program membaca yang diadakan di sekolah dan menyediakan bahan bacaan yang mencukupi termasuklah bahan bacaan bagi murid-murid inklusif bermasalah penglihatan serta membuat promosi untuk menambah ahli di perpustakaan. Kedua, dengan menyediakan bahan-bahan yang mencukupi terutamanya bahan dalam bentuk komputer dan perisian yang sesuai. Ketiga, menganjurkan program atau aktiviti untuk membantu ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran membaca, terutamanya bagi sekolah-sekolah di luar bandar dan mendapatkan bantuan daripada pihak luar untuk membantu dalam menjayakan program tersebut. Keempat, memberikan pengiktirafan atau hadiah kepada murid-murid yang menunjukkan kecenderungan dan minat untuk membaca bahan-bahan yang terdapat di perpustakaan.
            Langkah seterusnya ialah menjadi warga yang prihatin. Pertama, meletakkan diri sebagai sahabat membaca atau rakan belajar di sekolah dan memberitahu pihak sekolah bahawa secara sukarela, sanggup meluangkan masa untuk membaca beberapa bahan bacaan kepada kanak-kanak di sekolah, iaitu sekurang-kuangnya 30 minit dalam seminggu. Kedua, para usahawan tempatan dan badan sukarela dapat memberikan sumbangan bahan bacaan kepada pihak sekolah sama ada dalam bentuk buku, majalah, cakera padat dan sebagainya yang sesuaiuntuk murid-murid. Mereka juga dapat membantu meningkatkan keupayaan pusat sumber sekolah dengan bantuan pelbagai kemudahan, peralatan, dan kerja-kerja pengubahsuaian bilik sumber atau perpustakaan untuk memastikan murid-murid mempunyai persekitaran yang selesa di perpustakaan.
           
            Ketiga, mengadakan ceramah ringkas tentang bagaimana amalan membaca telah mengubah hidup, atau bagaimana sikap suka membaca telah membantu menjadi orang yang berjaya, dan sebagainya. Keempat, pihak universiti tempatan dapat membantu dari segi kepakaran mereka dengan menganjurkan sesi latihan kepada guru-guru dan ibu bapa berkenaan dengan apa-apa yang berkaitan dengan membaca. Di samping itu, para siswa juga dapat membantu dalam pelbagai program membaca yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Kelima, pihak majikan boleh mengadakan perpustakaan di tempat kerja supaya pekerja dapat meminjam buku-buku sama ada untuk diri mereka sendiri atau untuk anak-anak mereka di rumah. Keenam, di samping mempromosi kempen membaca, pihak media boleh menyiarkan kejayaan program membaca yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah tertentu sebagai rangsangan bagi sekolah yang lain pula.
            Pihak media juga dapat membantu dengan memberikan ruang iklan secara percuma bagi apa-apa iklan yang berkaitan dengan program membaca. Secara umumnya, kanak-kanak perlu memiliki kemahiran membaca dan menulis selewat-lewatnya ketika mereka berada di tahun tiga sekolah rendah. Pihak pengurusan sekolah perlu sedar bahawa usaha yang mencabar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa sokongan daripada masyarakat luar sekolah.


No comments:

Post a Comment

^_^