Thursday 8 September 2011

KATEGORI KANAK-KANAK MASALAH PEMBELAJARAN(PKB 3101 SEM 1)

ATTENTION DEFICIT-HYPERACTIVITY DISORDER (ADHD)I

DEFINISI  ADHD
Menurut  Persatuan Psikologi Amerika (APA) , ADHD didefinisikan sebagai kecelaruan psikologi dengan petanda-petandanya dapat dikesan sebelum umur tujuh tahun. ADHD merupakan satu corak tidak memberi tumpuan, impulsif,atau hiperaktiviti impulsif yang lebih kerap dan teruk berbanding kebiasaan yang dilihat pada individu pada tahap-tahap perkembangannya. Jadi dapatlah disimpulkan  di sini bahawa masalah ADHD  boleh dikaitkan dengan  kanak-kanak yang sering dilihat tidak boleh duduk diam dan lebih gemar bermain.

PUNCA-PUNCA ADHD
            Marilyn Friend telah membahagikan punca terjadinya ADHD kepada dua, iaitu faktor fisiologi dan faktor persekitaran. Di dalam faktor fisiologi, terdapat tiga punca yang menyebabkan ADHD, iaitu faktor keturunan, perbezaan fungsi otak, serta faktor biokimia. Kanak-kanak yang mempunyai masalah ADHD berkemungkinan besar mempunyai corak ADHD dalam keluarganya. Malah, kanak-kanak yang ibu dan bapanya mengalami ADHD berkemungkinan tiga kali ganda mempunyai ADHD. Di dalam faktor persekitaran pula terdapat dua punca iaitu persekitaran dan kecederaan otak. Kecederaan otak mungkin terjadi semasa tempoh prenatal  akibat daripada penggunaan dadah, merokok, atau pengambilan alkohol oleh ibu.

CIRI-CIRI ADHD

            
Kanak-kanak ADHD haruslah menunjukkan tingkah laku yang terdapat dalam tiga kategori utama yang sering berlaku dalam beberapa persekitaran seperti di rumah, di sekolah dan sebagainya. Antaranya adalah hiperaktiviti, tempoh tumpuan yang singkat, serta tingkah laku impulsif.  Kanak-kanak ADHD yang mempunyai masalah tingkah laku impulsif selalunya memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan serta kurang sabar dan hadapi masalah ketika menunggu giliran.

DOWN SYNDROME

DEFINISI DOWN SYNDROME
            Down Syndrome  merupakan kecelaruan genetik  yang paling dikenali yang menyebabkan kerencatan akal pada kanak-kanak. Down Syndrome didefinisikan sebagai  penyakit keturunan yang disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seseorang kanak-kanak.

PUNCA-PUNCA DOWN SYNDROME
            Sehingga sekarang, sebab dan punca berlakunya masalah Down Syndrome masih belum dapat dikenalpasti dengan tepat. Namun begitu, terdapat beberapa sebab yang mempunyai perkaitan dengan penyakit ini. Bagi ibu-ibu yang berumur 35 tahun ke atas semasa mengandung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan anak  Down Syndrome. 95% Down Syndrome disebabkan oleh kelebihan kromosom 21. Keadaan ini disebabkan oleh "non-dysjunction" kromosom yang terlibat iaitu kromosom 21 di mana semasa proses pembahagian sel secara mitosis pemisahan kromosom 21 tidak berlaku dengan sempurna.

CIRI-CIRI DOWN SYNDROME
            Mereka yang mempunyai Down Syndrome mungkin mempunyai sebahagian atau keseluruhan ciri-ciri fizikal seperti  bukaan mata bujur dengan lipatan kulit epikanthik pada sudut dalam mata, hipotonia otot (poor muscle tone), batang hidung leper, satu garis di tapak tangan (juga dikenali sebagai garis simian), lidah terjulur (disebabkan rongga mulut kecil, dan lidah membengkak berhampiran tonsil), leher pendek, tompok putih pada iris dikenali sebagai tompok Brushfield, lentur melampau pada sendi, kecacatan jantung kongenital, jarak melampau antara ibu jari kaki dengan jari berikutnya. Kebanyakan individu dengan Down Syndrome mempunyai kecacatan akal sekitar rendah (IQ 50–70) kepada serdahana (IQ 35–50 Tambahan lagi, mereka dengan sindrom Down berkemungkinan mempunyai kecacatan teruk yang memberi kesan pada mana-mana sistem badan.

AUTISME

DEFINISI  AUTISME
Autisme membawa maksud kanak-kanak  berada dalam dunianya sendiri.  Menurut Persatuan Autisme Amerika Syarikat, autisme adalah ketidakupayaan yang rencam yang kebiasaannya kelihatan pada masa kanak-kanak itu belum meningkat umur 3 tahun. Keadaan ini adalah kesan daripada kecelaruan neurologikal yang mengganggu fungsi otak .

PUNCA-PUNCA AUTISME
            Faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan austistik pada kanak-kanak. Bayi yang dilahirkan kembar hasil daripada satu telur didapati kemungkinan mengalami gangguan autistik. Selain itu pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubela, toxo, herpes, pemakanan yang tidak berzat, pendarahan, keracunan makanan, juga mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komunikasi dan interaksi.

CIRI-CIRI KANAK-KANAK AUTISME
                  Kanak-kanak yang menghidap autisme mempunyai tingkah laku yang aneh dan berlainan daripada kanak -kanak biasa. Kanak-kanak autisme biasanya akan leka bermain sehingga berjam-jam lamanya dengan sesuatu barang yang diminatinya dan akan menjadi baran jika barang itu diambil , dialihkan atau hilang. Selain itu, mereka juga suka bersendirian. Kanak-kanak autisme tidak menunjukkan kebolehan berinteraksi secara spontan dengan orang lain. Dia seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri. Ibunya mendapati sukar untuk menjalin kemesraan dengannya kerana dia tidak suka dibelai , dicium atau dipeluk. Kemesraan yang cuba ditunjukkan oleh ibunya tidak mendapat gerakbalas. Dia berkelakuan seperti kanak -kanak pekak , buta dan bisu.


LEMBAM (SLOW LEARNER)

DEFINISI  LEMBAM (SLOW LEARNER)

Menurut Hallahan dan Kaufman (2006), Akta Pendidikan Individu dengan Keperluan Khas mendefinisikan masalah lembam ini sebagai satu kecelaruan atau lebih pada proses asas psikologikal kanak-kanak yang mengaitkan pemahaman atau penggunaan bahasa yang boleh mengganggu kemahiran mendengar, berfikir, menutur, membaca dan mengira. Masalah lembam juga didefinasikan sebagai beberapa jenis kecelaruan yang mempunyai ciri- ciri perkembangan yang tidak sempurna, seperti perkembangan kemahiran akademik, bahasa dan pertuturan, kanak- kanak yang diklasifikasikan sebagai bermaslah pembelajaran khusus ini menunjukkan kelemahan dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, dan adakalanya mempamerkan masalah lain seperti tingkah laku dan bersosial.

PUNCA-PUNCA MASALAH LEMBAM

Terdapat banyak punca yang menjurus kepada berlakunya masalah lembam. Antaranya ialah faktor intelektual, persekitaran serta punca disebabkan penyakit autisme, disleksia dan Down Syndrome . Selain itu faktor baka, tersekat pengalaman, rasa rendah diri, kurang ransangan dan sebagainya juga merupakan punca berlakunya masalah lembam.

CIRI-CIRI KANAK-KANAK LEMBAM


Ciri- ciri kognitif yang terdapat pada kanak- kanak lembam adalah  lemah dan tidak memahami konsep serta  lemah dalam penerimaan konsep baru. Kanak-kanak ini  juga lemah dalam memberi tumpuan dan perhatiannya terhad. Tumpuan mereka mudah terganggu di samping  mudah lupa dan mempunyai daya ingatan singkat. Ciri- ciri psikologi yang ada pada kanak-kanak ini pula merangkumi sifat kurang keyakinan  diri, ketidakstabilan emosi, dan kurang matang dalam membuat keputusan.

MASALAH KOMUNIKASI

DEFINISI  MASALAH KOMUNIKASI
            Menurut Hallahan & Kauffman (1997), masalah komunikasi didefinisikan sebagai ketidakupayaan menggunakan pertuturan ataupun bahasa untuk berkomunikasi. Penyakit  bahasa dan pertuturan dikenali dengan berbagai-bagai istilah seperti kelemahan komunikasi manusia, kecacatan bahasa dan pertuturan atau patologi bahasa. Fenomena ini merupakan satu masalah komunikasi yang melibatkan sama ada bahasa atau pertuturan atau kedua-duanya sekali dalam kalangan para penghidapnya (Abdul Rahim Mat Yassin, 54, pensyarah bidang Kecacatan Komunikasi Manusia di Universiti)

PUNCA-PUNCA MASALAH KOMUNIKASI
            Terdapat beberapa punca berlakunya masalah komunikasi. Antaranya adalah kelewatan bahasa. Ada kanak-kanak yang memperolehi bahasa lewat daripada kebiasaannya. Sesetengah kanak-kanak akan dapat menguasai bahasa walaupun agak lambat daripada yang lain, tetapi terdapat juga kanak-kanak yang tidak menunjukkan perubahan dan memerlukan intervensi awal untuk membantunya. Selain itu masalah aphasia juga boleh menyebabkan masalah komunikasi. Aphasia berpunca daripada kerosakan otak. Bagi kanak-kanak kerosakan otak berpunca akibat kecederaan otak semasa lahir atau ketumbuhan (tumor) otak. Manakala bagi orang dewasa pula mungkin akibat daripada strok atau kecederaan akibat kemalangan.

CIRI-CIRI KANAK-KANAK MASALAH KOMUNIKASI

 Dari sudut pendengaran, kanak-kanak yang bermasalah komunikasi selalunya kehilangan pendengaran di bahagian tengah telinga,sesetengah bunyi boleh didiskriminasikan dan ada yang tidak, serta mempunyai tahap kehilangan pendengaran yang melebihi 60db.  Manakala, dari sudut penglihatan pula, crri-ciri yang kita boleh lihat pada kanak-kanak ini adalah sukar lihat objek maujud yang jauh dan sering mengecilkan mata untu melihat objek tersebut.

TERENCAT AKAL

DEFINISI  TERENCAT AKAL
      Kanak-kanak yang ditafsirkan sebagai terencat akal adalah kanak-kanak yang mempunyai daya pemikiran yang berkurangan dan bermasalah dalam pembelajaran. Mereka yang kerencatan akal yang teruk (severe mental retardation) tidak boleh berjalan, bercakap atau menjaga diri. Manakala mereka yang tidak begitu teruk hanya mempunyai masalah mempelajari cara-cara hidup seperti menjaga diri. Kecacatan terbahagi kepada kecacatan-kecacatan fizikal atau anggota, penglihatan dan pendengaran.

PUNCA-PUNCA TERENCAT AKAL
Bagi kanak-kanak terencat akal yang lebih teruk, punca-punca kecacatan dapat dinyatakan berdasarkan bila kecacatan itu berlaku iaitu semasa prenatal (sebelum kelahiran), perinatal (semasa dan sejurus selepas kelahiran), atau postnatal ( selepas kelahiran). Terencat akal boleh disebabkab oleh faktor prenatal yang melibatkan ketidaknormalan kromosom atau jangkitan atau penyakit yang dialami oleh ibu atau janin terutamanya pada awal kandungan iaitu tempoh tiga bulan pertama dalam kandungan. Individu yang dilahirkan normal juga boleh mengalami terencat akal akibat kemalangan atau penyakit yang terjadi semasa zaman kanak-kanak.

CIRI-CIRI KANAK-KANAK TERENCAT AKAL
            Individu terencat akal mempunyai masalah kesihatan  sampingan selain kecacatan yang dialami. Individu ini juga mempunyai masalah emosi dan perlukan perhatian akibat daripada perasaan kesunyian, kemurungan, dan juga kemahiran sosial. Terdapat sesetengah  kanak-kanak terencat akal mempunyai tingkah laku yang khusus. Di antaranya adalah seperti mahukan ganjaran tertentu, menarik rambut, menggigit, atas tabiat suka mencederakan diri



DISLEKSIA

DEFINISI  DISLEKSIA
Menurut Downing dan Leong (1982), disleksia didefinisikan sebagai kesusahan untuk memahami perkataan dan sukar untuk terjemahkan kepda yang lain. Menurut Sanders dan Myers (1996) pula , Kanak-kanak yang mengalami  ciri-ciri disleksia  mempunyai kesukaran-kesukaran khusus dalam bacaan, menulis dan mengeja. Kesukaran-kesukaran ini termasuklah masalah  yang serupa dalam kerja nombor dan mengenali simbol-simbol, seperti  not muzik atau simbol matematik. Oleh itu disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

PUNCA-PUNCA DISLEKSIA
Menurut  Mercer (1997) ; Hammond & Hughes(1999),  berdasarkan kajian-kajian yang telah dibuat secara teorinya disleksia adalah disebabkan oleh keturunan (genetik), biologi dan kematangan. Menurut kajian yang telah dijalankan British Psychological Society (1991), telah dapat membuktikan bahawa disleksia disebabkan oleh kromosom 15,1 dan 16 yang diwarisi secara turun-temurun . Secara umumnya disleksia  disebabkan oleh sejarah  kesukaran semasa dilahirkan, seperti lahir tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat menyukarkan. Selain itu, kebiasaannya kanak-kanak lelaki lebih lambat matang daripada kanak-kanak perempuan ( Hammond & Hughes 1996).

CIRI-CIRI KANAK-KANAK MASALAH DISLEKSIA
Kebiasaannya kanak-kanak disleksia mempunyai masalah dari segi fizikal atau pengurusan diri, bermasalah dalam pembelajaran, serta menghadapi masalah ketika membaca. Kanak-kanak ini sentiasa berpakaian tidak kemas tetapi tidak kotor, suka menggigit jari, pen dan merenung buku seolah-olah tidak faham, menunjuk teks bacaan dengan jari, teragak-agak dan sebagainya



CELEBRAL PALSY

DEFINISI  CELEBRAL PALSY
Pellegrino, 1997 telah mendefinisikan Celebral Palsy sebagai masalah perkembangan otot akibat kerosakan pada  saraf otak yang berlaku sebelum atau awal kanak-kanak. Menurut Kurtz, 1992 pula, Celebral Palsy ialah masalah pergerakan motor atau postur tubuh yang tidak betul akibat berlaku kerosakan pada otak dan memberi kesan negatif kepada pergerakan mereka. Kementerian Kesihatan Malaysia pula mentakrifkan  Celebral Palsy  sebagai masalah neorologikal yang kedua lazim berlaku di kalangan kanak-kanak. Kekerapan berlakunya masalah ini ialah di antara 3-5 orang pada setiap 1000 kelahiran.

PUNCA-PUNCA CELEBRAL PALSY
Menurut Pellegrino (1997), punca berlakunya Celebral Palsy biasanya  dikaitkan dengan kecederaan, kemalangan, jangkitan penyakit ( sebelum atau selepas kelahiran). Sebelum kelahiran, jangkitan virus sewaktu hamil seperti Rubella, cytomegalovirus, HIV dan oxoplasmosis boleh menyebabkan Celebral Palsy . Jangkitan kuman dan virus menghalang otak fetus berkembang dengan baik dan normal. Semasa kelahiran, kerosakan neurologi yang berterusan akan menyebabkan Celebral Palsy. Ia berlaku akibat ketidaknormalan pada otot dan ubat-ubatan perlu untuk mengawalkannya.

CIRI-CIRI KANAK-KANAK BERMASALAH CELEBRAL PALSY

Ciri-ciri kanak-kanak yang bermasalah Celebral Palsy tertonjol melalui pergerakan anggota badannya, sama ada pergerakan tangan atau kakinya atau kedua-duanya sekali. Ramai kanak-kanak Celebral Palsy menghadapi masalah ‘contracture’ atau otot-otot  mencerut yang menyebabkan pergerakan semakin terbatas dan akhirnya menghasilkan kecacatan. Individu yang menghidap Celebral Palsy berkemungkinan besar untuk menghidap penyakit lain seperti epilepsy, masalah penglihatan dan masalah terencat akal.

MASALAH EMOSI DAN TINGKAH LAKU

DEFINISI  MASALAH EMOSI DAN TINGKAH LAKU
            Cacat emosi ialah tingkah laku yang menganggu pertumbuhan perkembangan normal kanak-kanak (Twiford, 1979), dipetik dari buku Ang Huat Bin (1999). Ketidakupayaan tingkah laku pula bermaksud terdapatnya perbezaan reaksi kelakuan atau emosi bagi program sekolah dalam aspek umur, budaya dan bangsa yang mempengaruhi kejayaan pembelajaran.  ketidakupayaan emosi dan tingkah laku pula ini  menunjukkan reaksi yang melampaui daripada yang dijangka terhadap peristiwa yang terdesak, serta tidak merespon kepada intervensi terus dalam pendidikan biasa atau keadaan kanak-kanak tersebut menyebabkan intevensi pendidikan biasa tidak memadai.

PUNCA-PUNCA MASALAH EMOSI DAN TINGKAH LAKU
            Dari aspek ketidakupayaan emosi, masalah ini disebabkan oleh faktor genetik, persekitaran, serta faktor penyakit fizikal dan kecederaan. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarganya yang menghadapi tekanan, keresahan, kerunsingan atau ketegangan akan memberi pengaruh yang besar kepada kanak-kanak. Manakala, dari aspek ketidakupayaan tingkah laku pula ianya berpunca daripada faktor juzukan (konstitusi), faktor penyakit fizikal dan kecederaan, serta faktor persekitaran. Kanak-kanak yang menghadapi penyakit yang melibatkan bahagian otak, lebih berisiko tinggi menunjukkan gangguan tingkah laku. 

CIRI-CIRI KANAK-KANAK BERMASALAH EMOSI DAN TINGKAH LAKU

Tanda-tanda awal kanak-kanak menghadapi masalah ini ialah mereka suka bercakap bohong, kerap mencuri wang atau barang ahli keluarga dan melawan cakap keluarga serta suka menimbulkan pergaduhan.   Kanak- kanak ini tidak suka bercampur dengan rakan sebaya yang lain dan wujudnya rasa benci dalam hati mereka.  Kanak-kanak ketidakupayaan emosi dan tingkah laku ini akan menghadapi masalah dalam mewujudkan dan mengekalkan perhubungan interpersonal dalam perhubungan dengan semua individu.

No comments:

Post a Comment

^_^