Wednesday 25 April 2012

MATLAMAT KEMAHIRAN MENDENGAR


MATLAMAT KEMAHIRAN MENDENGAR

Matlamat kemahiran mendengar yang pertama ialah mendengar untuk memperoleh idea.Di sekolah, murid-murid perlu mendengar untuk menerima dan memahami idea yang disampaikan dalam perbualan, perbincangan, dialog, mesyuarat dan penjelasan dalam proses pengajaran guru.  Manakala dalam kehidupan harian pula, aktiviti mendengar sentiasa wujud dalam interaksi sosial (perbualan, perbincangan dan mesyuarat); untuk mendapat hiburan (radio, televisyen, filem), memperoleh maklumat (pengajaran guru, berita di radio dan televisyen) serta pernyataan perasaan dan apresiasi seni (drama, lakonan, dialog dan kesusasteraan).
 Matlamat yang kedua pula ialah mendengar untuk mencari isi-isi penting. Murid-murid mendengar sesuatu petikan dan kemudian membuat ringkasan tentang apa yang telah didengarnya. Petikan itu mungkin boleh dibaca atau dirakam terlebih dahulu. Murid-murid diminta membuat catatan isi-isi penting ketika mendengar sesuatu petikan itu. Ringkasan itu kemudiannya boleh disiapkan dalam bentuk laporan bertulis.   Latihan mendengar seperti ini membantu menyediakan murid-murid untuk boleh memberi pandangan dan pendapat serta hujah dengan baik.
 Matlamat yang ketiga ialah mendengar untuk melakukan arahan atau memberi tindak balas. Murid-murid mendengar arahan yang diberi dan bertindak balas terhadapnya. Arahan itu boleh diberi oleh guru, ketua murid, guru besar, ketua darjah atau rakan-rakan mereka sendiri. Biasanya, murid-murid yang dapat mendengar dengan baik akan dapat memahami maksud yang didengarnya itu dengan cepat dan dapat pula segera bertindak terhadapnya. Murid-murid seperti ini dapat menghasilkan sesuatu tindak balas secara tepat dan berkesan. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah melengkapkan peta, membuat corak, mencari jalan pada peta sesebuah bandar dan sebagainya.
Selain itu, matlamat mendengar juga adalah untuk mengenal pasti isi-isi yang tersirat. Di dalam kemahiran  ini, kita mendengar untuk mendapatkan maklumat. Dalam latihan ini perhatian murid-murid ditumpukan kepada bahagian-bahagian tertentu daripada apa yang mereka dengar. Latihan ini amat baik untuk melatih murid-murid mendengar dengan teliti maklumat-maklumat yang berkenaan sahaja dan mengenepikan yang lainnya. Banyak aktiviti yang boleh dijalankan oleh murid-murid. Antaranya ialah mendengar tentang cara untuk membuat kuih, mendengar dari seorang jurujual mengenai sebuah kereta yang akan dibeli, mendengar dan mendapatkan maklumat tentang rumah yang akan dibeli, mendengar dan mendapatkan maklumat maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh orang tertentu dalam seminggu dan sebagainya. 
Di samping itu, kita juga mendengar untuk mentafsir makna-makna yang tersirat, Kemahiran mendengar  memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan makna bagi mesej yang didengar bagi bahasa itu. Hal ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki kemampuan dari segi penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi. Sekiranya pelajar tidak menguasai kemahiran mendengar ini dengan baik, maka mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan tidak memahami apa yang disampaikan oleh guru semasa pengajaran di dalam kelas.
Matlamat kemahiran mendengar yang seterusnya ialah untuk menghayati keindahan bahasa dan muzik.  Misalnya dalam puisi.  Bahasa yang digunakan begitu puitis, dengan itu pendengar dapat menghayatinya melalui proses pendengaran yang baik.  Manakala mendengar untuk tujuan menghayati keindahan muzik pula bertujuan untuk menghayati lirik-lirik lagu yang didendangkan.  Mendengar juga adalah Untuk mengetahui keadaan semasa.  Tujuan ini amat penting supaya kita tidak ketinggalan daripada mengetahui perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita.  Kita dapat mendengar perkembangan semasa ini melalui media elektronik seperti radio dan televisyen.

No comments:

Post a Comment

^_^