Wednesday 25 April 2012

PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN BERTUTUR


 Peringkat-peringkat Kemahiran Bertutur.
   Untuk mencapai objektif kemahiran bertutur, iaitu bertutur dengan fasih dan dapat mengeluarkan bahasa dengan tepat dan sesuai dalam pelbagai situasi perhubungan di sekolah dan masyarakat, kemahiran bertutur perlu dipelajari berperingkat-peringkat. Peringkat kemahiran bertutur terbahagi kepada tiga iaitu peringkat awal, peringkat pertengahan dan peringkat maju.
   Pada peringkat awal penguasaan kemahiran bertutur, murid perlu menguasai sejumlah sembilan kemahiran iaitu, melafazkan pengucapan abertatasusila.  Sebagai contoh, murid memberikan respons yang sesuai terhadap soalan yang dikemukakan  dengan mengemukakan jawapan yang sesuai dalam sesi temu bual. Selain itu, murid juga perlu menguasai kemahiran mengajuk perkataan dan ayat-ayat yang didengar, menyoal untuk mendapatkan maklumat,serta membuat teguran atau kenyataan tentang sesuatu situasi.
    Dalam peringkat ini juga, murid perlu menguasai kemahiran mengemukakan soalan-soalan mudah berdasarkan situasi, bertindak terhadap soalan-soalan mudah, dan memberi arahan. Untuk kemahiran memberi arahan, murid menyatakan arahan atau pesanan dengan sebutan yang betul dan jelas. Cadangan aktiviti yang sesuai ialah murid melaksanakan arahan berdasarkan kad arahan yang dipilih contohnya kemaskan bilik darjah . Contoh  ayat arahannya ialah “Tolong kemaskan bilik darjah sekarang.”
     Kemahiran-kemahiran lain yang juga perlu dikuasai oleh murid dalam peringkat ini adalah kemahiran membina ayat-ayat tentang diri sendiri, rakan, ibu bapa dan sebagainya, serta membina ayat-ayat berdasarkan gambar ransangan. Untuk kemahiran membina ayat-ayat berdasarkan gambar ransangan, murid-murid boleh mengemukakan soalan bertumpu dan bercapah berdasarkan bahan rangsangan menggunakan lingkaran soalan. Contoh rangsangan yang boleh digunakan ialah gambar seekor harimau dan contoh soalan yang boleh dibina dan dikemukakan ialah “ Apakah makanan haiwan ini?” dan “ Bagaimanakah cara untuk mengekalkan spesisi ini?”
     Seterusnya  pada  peringkat pertengahan pula, murid-murid perlu menguasai sejumlah sepuluh kemahiran yang terdiri daripada melakukan deskripsi tentang sesuatu objek dan gambar. Kemudian guru akan bercerita berdasarkan satu siri gambar atau gambar-gambar bersiri kepada murid-murid tersebut, mendeskripsikan pengalaman atau sesuatu peristiwa serta memberi satu  siri arahan untuk melakukan sesuatu. Bagi  kemahiran mendeskripsikan pengalaman atau sesuatu peristiwa, murid-murid boleh bertukar-tukar pendapat berdasarkan sesuatu isi. Cadangan aktiviti yang murid boleh lakukan adalah bercerita tentang pengalaman masing-masing  contohnya pengalaman sambutan hari kebangsaaan di sekolah, pengalaman menonton televisyen dan sebagainya.
      Pelajar juga perlu menguasai kemahiran  membuat ucapan pendek dan ringkas serta mengambil bahagian dalam aktiviti perbualan yang mudah. Kemudian, pelajar yang lain akan memberi komen secara mudah serta membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan secara mudah  terhadap sesebuah aktiviti yang dijalankan di dalam kelas. Bagi kemahiran menyoal dan menjawab soalan berkaitan peribadi seseorang , suasana persekolahan, persekitaran, suasana di rumah dan sebagainya, murid boleh bersoal jawab tentang perkara yang menarik berdasarkan sesuatu topik contoh berkaitan dengan sukan sekolah.
    Akhirnya, pada peringkat maju pula, terdapat sejumlah dua belas kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid iaitu, mendeskripsi sesuatu peristiwa , objek, permainan, proses dan sebagainya; bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa menggunakannya; serta mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog. Untuk kemahiran mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog, murid boleh memberikan pendapat tentang tajuk yang dibincangkan secara bertatasusila.  Cadangan aktiviti yang sesuai dilakukan adalah berbincang dalam kumpulan kecil tentang topik yang diberikan,
   Kemahiran-kemahiran lain dalam peringkat ini yang perlu dikuasai oleh murid adalah bertanya untuk mendapatkan maklumat,menghuraikan proses,kejadian,prosedur dan peraturan, memberitahu arah atau hala sesuatu tempat, memberi ceramah atau syarahan serta mengambil bahagian dalam perbahasan,diskusi,forum,perbincangan, seminar dan sebagainya. Murid juga perlu mengambil bahagian dalam drama atau lakonan,mendeklamasi puisi, menyampaikan komen,laporan atau ulasan, serta mengkritik cerpen,pendapat,puisi,novel dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

^_^