Wednesday 25 April 2012

PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN MENDENGAR


Peringkat-peringkat Kemahiran Mendengar

Terdapat 3 peringkat kemahiran mendengar.  Pada peringkat awal kemahiran mendengar, pelajar akan diajar untuk mengecam, mengajuk dan memilih bunyi. Mereka juga diajar untuk mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat dalam petikan. Dalam  peringkat  kemahiran mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat, murid boleh menjalankan aktiviti mendengar dan mengecam ayat arahan serta pesanan. Sebagai contoh, murid boleh  menjalankan aktiviti mendengar rakaman perbualan yang mengandungi ayat arahan dan pesanan serta aktiviti menyebut ayat arahan dan ayat pesanan.
Pada peringkat ini juga, pelajar akan melakukan perkara dan aktiviti yang disuruh oleh guru. Sebagai contoh, guru menyuruh pelajarnya menggayakan gaya seekor kucing, maka pelajar tersebut akan bertindak balas dengan menggayakan aksi seekor kucing mengikut kekreatifan masing-masing. Selain itu, pada peringkat awal ini, pelajar cepat bertindak terhadap soalan yang mudah serta dapat  mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah dengan tepat.
Pada peringkat kedua atau peringkat pertengahan dalam kemahiran mendengar ini, pelajar didedahkan untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan terperinci. Pelajar juga diajar untuk mengenal informasi-informasi spesifik atau maklumat khusus. Sebagai contoh, guru memberitahu pelajar tentang sebuah kemalangan yang terjadi baru-baru ini. Hal ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar serta pelajar dapat mengetahui cara-cara untuk mengelakkan kemalangan itu.
        Pada peringkat ini juga, pelajar didedahkan untuk mengenal  sebab dan akibat sesuatu tindakan yang dibuat. Pelajar  ini juga  akan diajar untuk mengenal perhubungan orang-orang yang berinteraksi dalam kehidupan sosial serta diterapkan ilmu dalam aspek mengenal sikap dan perasaan orang yang bercakap. Mereka akan dipupuk untuk menjadi seorang pendengar yang baik dengan sentiasa menumpukan perhatian terhadap penyampai. Hal ini adalah supaya  pelajar tersebut menjaga perasaan penyampai agar  ilmu dan maklumat yang disampaikan itu dapat memberi manfaat kepada pelajar berkenaan.
        Peringkat ketiga pula ialah peringkat maju dalam kemahiran mendengar. Pada peringkat ini, pelajar dilatih untuk mengenal isi-isi penting. Sebagai contoh, dalam sebuah karangan, guru akan mengajar bagaimana untuk mencari isi-isi utama dalam karangan tersebut. Selain itu, aktiviti untuk murid pula adalah murid murid berbincang secara berkumpulan untuk mencari isi-isi penting daripada teks yang dibaca.
     Di samping itu,  pelajar diajar  mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap. Pelajar  akan diajar untuk mentafsirkan maksud orang yang bercakap agar dapat membezakan tekanan dan intonasi dalam sesebuah pertuturan. Contohnya, dalam sukatan pelajar Tahun Empat, pelajar diajar mendengar dan mengecam intonasi  dalam soalan tanpa kata tanya. Mereka juga diajar untuk mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang didengar sama ada merujuk kepada guru atau kawan-kawan. Pelajar juga  akan dididik untuk mengikut aliran dalam dialog atau perbualan serta mereka dapat menafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur nahu.

No comments:

Post a Comment

^_^