Wednesday 25 April 2012

TAJUK: STRATEGI MENGAJAR SAINS (INKUIRI)


TAJUK: STRATEGI MENGAJAR SAINS (INKUIRI)

INKUIRI

Pendekatan Inkuiri pula merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti soal selidik ini memerlukan murid mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, manjalankan kajian atau siasatan dan seterusnya mendapatkan jawapan dan
membuat rumusan.
Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, terdapat dua jenis teknik inkuiri iaitu ‘inkuiri terbimbing’ dan ‘inkuiri terbuka’. Inkuiri terbimbing memerlukan guru membimbing murid menjalankan segala proses kajian. Inkuiri jenis ini sesuai dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Dalam inkuiri terbuka, murid atau pelajar tidak diberi sebarang bimbingan. Segala proses kajian dijalankan oleh murid atau pelajar sendiri. Oleh itu, ianya sesuai dilaksanakan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi seperti di universiti. Kesimpulannya, model inkuiri ini amat berguna bagi mendapatkan maklumat dan pengetahuan baru dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan.
Sains sebagai inkuiri mementingkan murid mempelajari kemahiran proses sains seperti pemerhatian, membuat inferens dan mengeksperimen.  Guru sains perlu melibatkan murid dalam inkuiri dengan memberi peluang kepada mereka untuk menanya soalan, menerang kejadian, menguji idea sedia ada dan berkomunikasi apa yang dipelajari.
Oleh itu inkuiri merupakan salah satu pendekatan penyelesaian masalah yang disusun khas supaya sesuatu yang ditujukan kepada pelajar akan menjadi cabaran kepada mereka untuk menyelidik dan meneliti secara lebih mendalam.
Matlamat pendekatan ini adalah untuk membantu murid mengembangkan kemahiran dan intelek bagi mencari jawapan akibat daripada rasa ingin tahu.  Terdapat lima fasa seperti rajah berikut:

Rajah 1: Fasa Model Inkuiri


Fasa Satu :
Dalam Fasa Satu, guru perlu mengemukakan situasi masalah yang perlu diselesaikan oleh pelajar. Kemudiannya memberikan penerangan susun atur bagaimana untuk menjalankan inkuiri yang digunakan.

Fasa Dua :
Dalam Fasa Dua pula, ia melibatkan proses mengumpul data. Pegumpulan data dibuat melalui ujikaji, pemerhatian dan pemeriksaan situasi sebenar. Guru-guru hendaklah cuba membantu murid dengan mengembangkan jenis maklumat yang didapati.

Fasa Tiga :
Dalam Fasa Tiga, murid-murid perlu mengasingkan pembolehubah yang releven iaitu untuk membentuk hipotesis dan membuat perkaitan tentang sebab dan akibat masalah berlaku.

Fasa Empat :
Dalam Fasa Empat , guru meminta pelajar menyusun semua data-data yang telah mereka perolehi bagi membentuk satu keterangan mengenai kajian mereka.

Fasa Lima 
Dalam fasa yang terakhir ini, pelajar diminta untuk menganalisis corak inkuiriyang telah mereka hasilkan . Pada fasa ini pelajar boleh memberikan pelaporan mengenai kajian yang telah mereka lakukan dalam bentuk penulisan, gambarajah atau sebagainya.

Model ini adalah merupakan satu pengajaran yang menarik serta merangsangkan murid-murid kerana mereka memerlukan kreativiti, pemikiran, penaakulan serta penilaian bagi menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat sesuatu keputusan.



Prinsip-Prinsip Model Inkuiri
Terdapat beberapa prinsip yang perlu diketahui oleh guru sebelum melaksanakan model inkuiri di dalam pengajaran . Ini sangat penting untuk memastikan kaedah yang digunakan. Ini benar-benar mampu menghasilkan satu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Prinsip pertama yang perlu diberi tumpuan oleh guru ialah mereka perlu memilih topik kajian yang terdapat dalam sukatan dan mengikut objektif pelajaran. Ini penting agar proses pengajaran itu nanti sesuai dengan tahap kemampuan mereka . Objektif pengajaran guru akan mempunyai matlamat yang perlu dicapai oleh murid.

Prinsip kedua ialah penyediaan alatan. Guru perlu menyediakan alatan yang sesuai dan mencukupi sebelum memulakan sesuatu kajian. Alatan yang tidak sesuai serta tidak berfungsi akan menggangu kelancaran proses pembelajaran murid. Oleh yang demikian para guru perlu memastikan alatan sentiasa dalam keadaan baik, berfungsi, sesuai dan mencukupi.

Prinsip ketiga ialah peranan yang dimainkan oleh guru. Guru perlu berbincang dengan murid mengenai tujuan kajian dibuat. ini akan dapat memberikan pengetahuan awal kapada murid apa yang perlu mereka lakukan. Guru perlu juga memastikan murid-murid memahami langkah-langkah untuk menjalankan kajian.

Prinsip yang keempat ialah guru perlu mengelak daripada memberi jawapan atau memberitahu murid jawapan dan kesimpulan yang diharapkan. Dalam peringkat ini, guru perlu memberi kebebasan kepada murid dalam setiap jawapan atau kesimpulanyang mereka berikan.
Guru juga perlu memastikan agar aktiviti dibuat oleh murid sendiri. Kegagalan guru memastikan kajian dibuat oleh pelajar akan memberikan impak yang besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru juga perlu mengawal pelajar agar mereka tidak menyeleweng dari kaedah kajian. Guru harus sentiasa peka dan mudah mengesan kesilapan yang dilakukan oleh murid serta membuat peneguran kepada murid. Ini penting supaya murid tidak terpesong daripada matlamat dan objektif kajian.
Sebaik sahaja kajian selesai dijalankan, guru perlu mengadakan perbincangan dengan murid. Dalam perbincangan ini, guru boleh mendengar keputusan dan kajian murid di samping bertukar-tukar pendapat, pandangan dan pengalaman. Setiap pandangan daripada murid hendaklah diterima dan diberi perhatian . Guru boleh membuat kesimpulan atau keputusan.

Kebaikan

Terdapat beberapa kebaikan bagi model ini yang boleh dimanfaatkan oleh
murid-muird. Di antaranya ialah :-

1.         Model ini berasaskan strategi pemusatan pelajar. Pelajar melibatkan diri
dalam aktiviti pembelajaran sepenuhnya
2.         Menghasilkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap rumusan atau generalisasi yang dibuat.
3.         Menimbulkan minat pelajar serta naluri ingin tahu pelajar terhadap aktiviti pembelajaran yang dilakukan.
4.         Memberi peluang kepada pelajar-pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran secara bebas.
5.         Pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi leh murid-murid akan kekal lama.
6.         Menggalakkan pelajar berfikir secara saintifik dan rasional.

Kelemahan

1.         Model ini hanya sesuai kepada pelajar tahap dua di sekolah rendah.
2.         Model ini memerlukan penggunaan masa yang panjang.
3.         Pelajar yang kurang pengalaman akan menghadapi kesulitan untuk mendapatkan hasil kajian yang tepat

No comments:

Post a Comment

^_^