Wednesday 25 April 2012

REFLEKSI TERAPI PASIR


Refleksi  terapi  PASIR

            Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T di atas limpah kurnia dan rahmatNya yang tidak terhingga akhirnya saya berjaya menyiapkan laporan amali bagi terapi pasir. Sebelum memulakan aktiviti terapi pasir, kami telah diberikan penerangan terlebih dahulu oleh pensyarah pembimbing mengenai aktiviti terapi pasir yang hendak dijalankan tersebut. Terapi pasir merupakan satu bentuk bengkel yang memberi peluang kepada individu untuk meneroka hal-hal berkaitan dengan perasaan atau emosi secara mendalam.
              Terapi ini secara tidak langung memberi peluang kepada individu untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya tanpa paksaan. Penggunaan terapi permainan pasir ini mampu membuatkan kanak-kanak lebih rileks. Pergerakan otot yang diselarikan dengan perasaan ketika melakukan permainan pasir menyebabkan kanak-kanak lebih fokus dan akhirnya punca sebenar kemarahan atau ketegangan dapat dikeluarkan. Pemilihan alat permainan untuk diletakkan di dalam kotak pasir menjadi simbol terhadap perasaan mereka, sama ada marah, benci, sayang dan sebagainya.
            Kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut unit kelas masing-masing. Setiap kumpulan dibekalkan dengan 2 jenis alat mainan untuk aktiviti terapi pasir. Terpulang kepada setiap individu dan kumpulan untuk menggunakan dengan cara apa pun alat mainan tersebut dalam aktiviti pasir yang dijalankan. Dalam aktiviti ini, kami telah membina istana pasir. Dalam melakukan aktiviti ini , secara tidak langsung kami telah menggunakan pergerakan motor kasar dan motor halus.
Selain itu, kami dikehendaki untuk menghias istana pasir yang dibina dengan menggunakan bahan-bahan yang ada disekitar pantai tersebut. Dari sini, kita boleh lihat, bagaimana  guru pelatih menggunakan kekreatifan mereka untuk menghias istana pasir menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling mereka. Aktiviti ini banyak menuntut kerjasama satu kumpulan dan menuntut guru pelatih untuk berfikiran lebih kreatif dalam menjalankan sesuatu aktiviti.
Aktiviti membina istana pasir bukan hanya sekadar untuk membina sahaja, tetapi guru pelatih dikehendaki untuk menerangkan tentang logik dan kaitannya konsep  pembinaan istana pasir dengan aspek-aspek emosi, sosial, intelek dan jasmani murid. Dari sini kita boleh lihat bagaimana bakal-bakal guru menerangkan tentang apa yang mereka bina dan kegunaan dan kebaikannya aktiviti tersebut kepada murid.
Secara keseluruhannya, aktiviti terapi pasir juga salah satu aktiviti terapi yang sangat sesuai dilaksanakan kepada murid-murid. Melalui aktiviti sebegini, mereka dapat meluahkan perasaan mereka melalui lukisan yang dibentuk atas pasir. Bahkan kita sebagai guru pun boleh melepaskan tekanan yang ada dengan terlibat sama dalam aktiviti terapi pasir ini. Sebagai seorang bakal guru, kita haruslah sentiasa kreatif dan peka terhadap perasaan  dan kelakuan murid-murid kita.

No comments:

Post a Comment

^_^